Insentif kerajaan terhadap perkhidmatan awam petanda ekonomi makmur
- Suara Keadilan
- Aug 26
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Pelbagai insentif baharu kepada kakitangan awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini merupakan petunjuk kepada kemakmuran ekonomi negara.
Selain itu menurut Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran, insentif itersebut juga memberi motivasi kepada kakitangan awam untuk meningkatkan prestasi, sekaligus memberi kesan langsung kepada kecekapan kerajaan menarik pelabur dan mengukuhkan persekitaran perniagaan.
"Apabila kerajaan dapat menyalurkan peruntukan kepada penjawat awam, ia menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan ekonomi negara.
"Lebih penting, insentif ini memberi motivasi kepada kakitangan awam untuk meningkatkan prestasi, sekaligus memberi kesan langsung kepada kecekapan kerajaan dan pertumbuhan ekonomi.
"Prestasi sektor awam yang cekap akan menjadi faktor penarik kepada pelabur asing. Apabila pelabur melihat pengurusan kerajaan yang cekap dan pantas, mereka lebih yakin untuk melabur.
"Ia bukan sahaja menjana peluang pekerjaan baharu, malah meningkatkan hasil negara," kata Yuneswaran kepada Suara Keadilan.
Tambah beliau, penjawat awam merupakan barisan hadapan dalam menjayakan dasar kerajaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
"Politik menggubal dasar, tetapi pelaksana sebenar ialah penjawat awam. Jika sistem pengurusan kita licin dan efisien, ia memberi kesan positif kepada rakyat dan ekonomi negara.
"Lihat contoh seperti Singapura, Jepun, kecekapan sektor awam mereka menjadi pemangkin utama kejayaan ekonomi.
"Seperti yang berlaku di negara-negara maju, sektor awam yang profesional mampu menjadi jambatan antara kerajaan, rakyat, dan syarikat swasta," katanya lagi.
Terdahulu, Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Kali Ke-20 yang berlangsung pada 15 Ogos lalu menyaksikan beberapa insentif baharu diperkenalkan bagi memperkasa penjawat awam sebagai tonggak utama pentadbiran negara.
Antara langkah yang diperkenalkan termasuk penambahbaikan skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA), kemudahan cuti Haji yang lebih baik, serta penerusan Program Inisiatif APEL.Q @ INTAN dengan peruntukan RM1.5 juta pada tahun 2026.
Kerajaan turut mengangkat Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebagai pusat rujukan kecemerlangan perkhidmatan awam di peringkat Asia dan global.
Mengulas lanjut Yuneswaran berkata, inisiatif yang diumumkan kerajaan ini akan membuka ruang kepada pegawai kerajaan memperoleh pengetahuan industri sebenar dan teknologi terkini.
"Dengan adanya pendedahan dalam dunia akademik dan industri, penjawat awam dapat memahami perubahan teknologi, termasuk dalam bidang digital dan kecerdasan buatan (AI).
"Ini penting untuk memastikan urusan kerajaan sentiasa relevan dan cekap," katanya lagi.
Comments