top of page

Insentif baharu: Dana diselamatkan era Madani, naik taraf perkhidmatan awam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Pengumuman pelbagai insentif baharu kepada kakitangan awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-20 (MAPPA 20) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini menandakan hasrat kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan awam Malaysia bertaraf dunia.


Penggerak Rakan Nasionalis Moderat, Dr Faiz Na’aman berkata, penambahbaikan sistem percukaian serta kawalan terhadap kebocoran hasil dan rasuah pada era Kerajaan Madani membolehkan kerajaan menjana lebih banyak dana yang akhirnya disalurkan kembali kepada rakyat, termasuk dalam bentuk insentif kepada kakitangan awam.


"Kerajaan mahu meningkatkan bukan sahaja fasiliti latihan untuk penjawat awam, malah juga tata kelola - istilah ini sudah menjadi popular, seiring dengan penekanan kerajaan hari ini.


"Urus tadbir, integriti, fasiliti, dan elemen-elemen sokongan lain memerlukan sumber kewangan yang kukuh. Untuk memastikan kerajaan mempunyai kewangan kukuh, perlu ada kestabilan politik yang digandingkan dengan pemantauan dan pembanterasan rasuah.


"Negara kita sebenarnya memiliki banyak sumber. Jika dijaga dan dikawal dengan baik, Malaysia mampu membiayai banyak perkara. Selama ini, kerajaan terdahulu kelihatan seperti tidak cukup dana kerana wujudnya kebocoran.


"Tetapi dengan penambahbaikan sistem percukaian yang lebih adil, kawalan di sempadan, dan pencegahan ketirisan dalam projek-projek kerajaan, lebih banyak wang boleh dikumpulkan serta disalurkan semula untuk memperkasakan agensi kerajaan, penjawat awam, dan akhirnya memberi manfaat kepada rakyat," kata Dr Faiz kepada Suara Keadilan.


Antara inisiatif yang diumumkan pada MAPPA ke-20 adalah Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam, Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) penambahan dana untuk Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), pelanjutan program APEL.Q, kelonggaran syarat untuk cuti haji dan inisiatif penyertaan komuniti dan kesukarelawanan penjawat awam.


Tambah Dr Faiz, Kerajaan perpaduan menekankan kepentingan profesionalisme dalam kalangan penjawat awam yang sering berurusan dengan pelabur luar kerana mereka adalah ‘duta kecil’ negara yang membentuk imej pertama Malaysia di mata dunia, justeru penguasaan bahasa Inggeris dan kecekapan dalam urusan rasmi perlu dipertingkat.


"Saya ada pengalaman beruurusan dengan agensi kerajaan negara maju seperti China, Australia dan Amerika Syarikat, yang sistem perkhidmatannya lebih cekap dan pantas dalam memberi maklum balas.


"Malaysia juga sedang bergerak ke arah yang sama dengan pelbagai penambahbaikan, meskipun masih banyak ruang untuk diperbaiki.


"Kita berharap kerajaan akan memperkenalkan sistem bersepadu agar urusan rakyat dengan agensi kerajaan menjadi lebih mudah, tanpa perlu mengisi borang berulang kali.


"Sistem ini juga diyakini dapat mengurangkan risiko rasuah kerana rakyat tidak lagi bergantung kepada hubungan peribadi untuk mempercepat urusan rasmi.


"Malaysia memiliki banyak potensi yang boleh dimanfaatkan sekiranya ditadbir dengan baik.


"Apabila kebocoran dapat dibendung, kerajaan mampu memperkukuh agensi kerajaan, meningkatkan latihan dan integriti penjawat awam, serta memastikan rakyat mendapat manfaat secara langsung," kata Dr Faiz lagi.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page