Input ahli akademik RMK-13 dibawa ke Jemaah Menteri – Fahmi


Laporan dan pandangan golongan akademik mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk diteliti kerajaan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata pandangan, saranan dan kritikan membina daripada ahli akademik penting bagi memastikan pelaksanaan rancangan pembangunan negara itu terus berada pada landasan yang betul.
Input berkenaan bukan sahaja wajar diberi perhatian Kementerian Ekonomi, malah perlu diteliti semua kementerian berkaitan, katanya.
"Saya berpandangan semua input, saranan, pandangan, kritikan membina yang dapat diberikan oleh rakan-rakan akademik ini penting untuk diteliti bukan hanya oleh Kementerian Ekonomi malah juga setiap kementerian.
"Jadi saya mengalu-alukan usaha pihak INPUMA (Institut Polisi Awam dan Pengurusan Universiti Malaya), Universiti Malaya dan saya minta supaya jika boleh mereka menyediakan sedikit laporan dan saya dapat panjangkan kepada Jemaah Menteri kelak," katanya dipetik laporan media tempatan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam RMK13: Hala Tuju dan Cabaran anjuran Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Mengulas pelaksanaan RMK-13, Fahmi berkata aspek tadbir urus perlu diberi perhatian bagi memastikan setiap peruntukan yang menggunakan wang rakyat disalurkan dan dimanfaatkan sebaiknya.
Katanya pelaksanaan projek di bawah RMK-13 perlu bebas daripada salah guna kuasa, rasuah dan amalan kleptokrasi.
"Dalam ucapan, saya menitipkan mesej bahawa kita perlu pastikan kerana setiap Rancangan Malaysia dilaksanakan dengan menggunakan duit rakyat, maka pelaksanaan projek RMK-13 terutamanya perlu pastikan aspek tadbir urusnya betul, tidak berlaku apa-apa salah guna dan juga aspek kleptokrasi ataupun rasuah dan sebagainya," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi turut mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2027, khususnya berkaitan pembangunan ekonomi kreatif.
Menurut beliau, ekonomi jingga atau ekonomi kreatif menjadi antara fokus yang diketengahkan kementerian selain program di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan jabatan berkaitan.
Katanya kerajaan sebelum ini telah membentuk Majlis Ekonomi Jingga bagi meneliti pembangunan industri kreatif meliputi filem, animasi, muzik serta seni dan budaya.
"Memandangkan kita telah bentuk satu Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan ekonomi kreatif yang menyentuh filem, animasi, muzik dan juga seni dan budaya.
"Jadi memang bagi pihak Kementerian Komunikasi ada beberapa perkara yang kita ketengahkan dan kita harap dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan," katanya.
engenai kMemungkinan pengumuman baharu yang memberi manfaat kepada kementeriannya dalam Belanjawan 2027, Fahmi berkata anggota Jemaah Menteri lazimnya hanya mengetahui perkara yang diluluskan ketika Perdana Menteri menyampaikan ucapan Belanjawan.
"Saya pun belum tahu. Biasanya anggota Jemaah Menteri hanya akan tahu pada ketika Perdana Menteri menyampaikan ucapan.
"Kita tidak diberikan sebarang bayangan apa yang diluluskan, apa yang kami mohon," katanya.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.




Comments