Inisiatif Tadbir Urus Global: Gagasan penting kekalkan multilateralisme, keadilan ekonomi
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Inisiatif Tadbir Urus Global yang ditekankan oleh kuasa global China melalui ucapan Presiden Xi Jinping di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus di Tianjin penting bagi menjamin struktur kewangan dan politik dunia tidak dikuasai hanya oleh satu blok kuasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijemput menghadiri sidang SCO berkata, forum ekonomi tersebut menjanjikan masa hadapan yang lebih baik buat rantau ASEAN dengan kemajuan besar dalam ekonomi, kesihatan awam, keselamatan dan peralihan tenaga sejak dicacat oleh negara anggota sejak kebelakangan ini.
"Dalam sidang ini, Presiden Xi memperkenalkan Inisiatif Tadbir Urus Global, gagasan penting ketika multilateralisme semakin rapuh. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak lagi diyakini mampu melaksanakan agenda reformasi, sementara kita terus menyaksikan jurang kesenjangan melebar dan kekejaman berulang tanpa sebarang hukuman.
"Malaysia mendukung penuh inisiatif ini, yang berpaksikan keadilan, ihsan, kemanusiaan dan kerjasama, dengan multilateralisme sebagai teras. Prinsip luhur ini mesti diterjemah kepada tindakan nyata.
"Hakikatnya, wujud defisit kepercayaan terhadap tatanan dunia. Kegagalan menjamin perdagangan dan struktur kewangan yang adil, serta kelemahan menangani krisis iklim, mendedahkan jurang besar antara retorik yang dilaungkan dengan penderitaan sebenar rakyat di lapangan," katanya dalam hantaran di media sosial.
Tegas PM, tatkala negara sahabat China bakal memperingati ulang tahun kebangkitan rakyat dan penamatan Perang Dunia Kedua pada Rabu ini adalah wajar sidang juga meningkatkan kesedaran dan penolakan terhadap pencerobohan, keangkuhan kuasa, kolonialisme, imperialisme serta penindasan sesama manusia, sesuatu yang masih menghantui dunia pada saat ini.
"Kekejaman di Gaza dan Palestin, di mana anak-anak kecil dibunuh tanpa belas, berlaku di depan mata kita. Kesannya turut melimpah ke Lubnan, Iran dan Iraq, sementara dunia seakan tidak berdaya menghalangnya.
"Kerana itu, Malaysia teguh mendukung Inisiatif Tadbir Urus Global, dan mendesak agar ia diperkasakan dengan lebih tekad untuk menghapuskan sebarang bentuk imperialisme, kolonialisme dan penindasan.
"Ayuh kita melangkah dengan penuh keberanian, berpandukan keadilan, kemanusiaan dan ihsan, demi membina dunia yang damai dan harmoni," katanya lagi.
Untuk rekod, PM sebagai pengerusi ASEAN dijemput Presiden Xi Jinping untuk meelakukan lawatan kerja selama empat hari dari 31 Ogos hingga 3 September.
PM Anwar diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Datuk Seri Anwar dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Jinping dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Li Qiang bagi membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Selain mengadakan perbincangan bersama komuniti perniagaan China dan Malaysia.
Malaysia dan China menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974, sebagai rakan dagang Malaysia terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak dari 2009.