Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta bagi tahun 2023 untuk para pekerja ekonomi gig khususnya penghantar makanan.
Menurut Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, sumbangan kepada pekerja gig itu dilakukan pada Program Selangor Youth Festival 2023 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri di Dataran Karnival Stadium Shah Alam, semalam.
"Inisiatif Roda Darul Ehsan (RIDE) merupakan satu inisiatif bantuan Kerajaan Negeri yang diperkenalkan dalam inisiatif Peduli Rakyat (IPR) tahun 2020.
"Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan dana sebanyak RM2 Juta bagi tahun 2023 dan lebih 3,000 permohonan telah diluluskan yang merangkumi para penghantar makanan (Rider) Grab, Foodpanda, Mcdonalds, Shopee Food, Lalamove, Pos Malaysia, Teleport dan Barzo.
"Secara keseluruhannya, jumlah permohonan yang diterima adalah sebanyak 19,658 permohonan dan hampir 9,500 orang telah menerima manfaat dari program RIDE ini sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2020.
"Setiap Pemohon menerima inisentif sebanyak RM500 secara tunai dan RM50 melalui caruman KWSP," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, Khairuddin berharap penganjuran program tersebut menjadi platform terbaik bagi golongan generasi muda untuk menceburi bidang e-hailing berkenaan, sekaligus membantu perkembangan pasaran dalam ekonomi gig.
Comments