top of page

PRIME MCMC pastikan mangsa banjir Sabah kekal terhubung dihargai

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 20
  • 2 min read
ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memastikan mangsa banjir di Sabah kekal terhubung melalui penyediaan kemudahan komunikasi kecemasan menerima pujian amat dihargai, khususnya penduduk yang terjejas.


Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sabah, Lahirul Latigu menyifatkan inisiatif itu sangat membantu, khususnya ketika liputan komunikasi terhad akibat bencana yang membolehkan mangsa berhubung dengan ahli keluarga serta mengakses maklumat penting.


"Saya mengalu-alukan usaha MCMC menggerakkan kemudahan komunikasi kecemasan MCMC PRIME dan NADI di kawasan terjejas seperti Kampung Cenderakasih dan Penampang.


 Lahirul Latigu
 Lahirul Latigu

"Ketika rakyat Sabah sedang berdepan bencana banjir dan tanah runtuh yang telah meragut nyawa serta memaksa ribuan mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara, akses komunikasi menjadi keperluan yang paling kritikal.


"Ia bukan sekadar untuk mangsa berhubung dengan keluarga, tetapi juga bagi mempercepat koordinasi penyelamatan, penyaluran bantuan dan memberi ketenangan kepada mereka yang terjejas," kata Lahirul kepada Suara Keadilan.


MCMC dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan usaha bersepadu dilakukan bagi memastikan mangsa bencana di Sabah kekal terhubung melalui kemudahan komunikasi kecemasan MCMC PRIME dan perkhidmatan Internet komuniti Pusat Ekonomi Digital (NADI).


Selain tu, kenderaan mudah alih dikenali sebagai MCMC PRIME dilengkapi sokongan komunikasi telah digerakkan ke Kampung Cenderakasih dan Penampang bagi membantu pasukan penyelamat dan kerja-kerja pemulihan infrastruktur oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) selain pembukaan 131 Pusat NADI untuk menyediakan capaian internet kepada masyarakat yang terkesan.


Tambah Laihirul, komunikasi yang lancar adalah nadi kepada keberkesanan operasi bencana dan kehadiran infra kecemasan di lapangan jelas meringankan beban rakyat dalam menyelaras maklumat serta memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.


Ujarnya, inisiatif tersebut membuktikan bahawa sokongan teknologi komunikasi dan multimedia amat penting dalam menangani cabaran bencana alam, selain memperlihatkan kepedulian agensi kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat.


"Saya percaya langkah ini wajar diperkukuh serta diperluas ke lebih banyak kawasan pedalaman di Sabah yang kerap terputus hubungan setiap kali bencana.


"Dalam keadaan genting sebegini, komunikasi yang stabil adalah talian hayat bagi rakyat," katanya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page