Inisiatif foodbank sayur sayuran: Kekuatan masyarakat majmuk di Pandan
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Pusat Khidmat Parlimen Pandan bersama Pasukan Cabang KEADILAN Pandan terus menggerakkan inisiatif edaran foodbank sayur-sayuran sebagai usaha membantu meringankan beban kos sara hidup penduduk setempat.
Program ini mencerminkan kekuatan sebenar masyarakat Pandan, sebuah komuniti majmuk yang sentiasa bersatu, saling membantu tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Setiausaha Pengelola KEADILAN Pandan, Kok Khoon Mun menzahirkan penghargaan terhadap semua pihak yang memainkan peranan dalam menjayakan usaha tersebut.
"Semangat gotong-royong dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh penduduk Pandan amat membanggakan. NGO, kumpulan belia, dan penduduk setempat berganding bahu memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
"Ini membuktikan bahawa masyarakat majmuk kita bukan sekadar wujud, tetapi benar-benar hidup dan saling menyokong," katanya.

Antara pihak yang turut terlibat dalam aktiviti foodbank termasuklah NGO, belia, JMB, KRT dan sukarelawan di sekitar Pandan.
Program foodbank terbaharu di Kampung Tasek Permai bertujuan memberi sokongan moral kepada para sukarelawan yang menjadi tulang belakang kepada inisiatif ini.
Walaupun pelaksanaan di lokasi tersebut digerakkan secara komuniti oleh NGO Gergasi bersama The Lost Food Project, usaha ini tetap mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat Pandan yang saling membantu tanpa mengira latar belakang.
Selain itu, edaran sayur-sayuran dilakukan di seluruh parlimen Pandan, termasuk Taman Saga, Pandan Mewah, Kg Pandan Dalam, Pandan Indah, Taman Kencana, Pangsapuri Intan, Taman Bukit Pandan dan banyak lagi.
Pasukan Cabang Pandan terus memperkukuh usaha kebajikan ini dengan pendekatan yang inklusif dan menyeluruh, selari dengan program lain seperti Ziarah Kasih oleh pasukan belia, Ziarah Kasih Medik dan Kaunter Bergerak Parlimen Pandan yang mendekati rakyat secara langsung.
Inisiatif ini terbuka kepada semua, tanpa mengira latar belakang, dengan matlamat memastikan tiada yang terpinggir daripada menerima bantuan asas.
Pihak penganjur menyeru lebih ramai pihak untuk tampil bersama, kerana kekuatan sebenar Pandan terletak pada rakyatnya — masyarakat majmuk yang sentiasa bersatu dan saling menjaga antara satu sama lain.




Comments