
Oleh: Abdullah Zaid
Kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia mengenai penurunan inflasi 2.0% kekal sehingga akhir Disember memberi petunjuk Kerajaan Perpaduan bekerja keras untuk rakyat.
Bagi Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat (MPP), Siti Aishah Shaik Ismail, trend penurunan sejak November 2022 iaitu 4.0% kepada 2.0%, memberi petunjuk bahawa Kementerian Ekonomi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan fungsi mereka dengan tepat.
"Inflasi merupakan satu tanda aras yang perlu dilihat oleh rakyat sama ada kerajaan ini bekerja atau tidak.
"Penurunan Inflasi itu memberikan tanda jelas bahawa kementerian yang diberikan tanggungjawab (KPDN dan Kementerian Ekonomi) peka dan menjalankan segala daya upaya mereka dalam memastikan ekonomi negara kembali ke landasan yang tepat," kata Aishah ketika dihubungi Suara Keadilan.
Justeru, beliau yang juga Pengarah Aduan dan Kemasyarakatan KEADILAN Malaysia menyeru agar rakyat memberi peluang kepada blok Perpaduan masa secukupnya memulihkan negara sekali gus menafikan usaha pembangkang yang cuba menganggu gugat kestabilan kerajaan.
"Rakyat perlu memberikan peluang kepada kerajaan untuk terus bekerja dan memperlihatkan hasilnya kepada rakyat dengan adil dan saksama.
"Tohmahan dan persepsi jahat pembangkang yang cuba ditimbulkan juga harus dinoktahkan oleh rakyat," ujarnya lagi.
Pada 29 Ogos lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata trend penurunan kadar inflasi sejak Kerajaan Perpaduan memegang tapuk pemerintahan mencerminkan trend harga yang semakin stabil dan berterusan.
Tambahnya, kerajaan pada ketika ini sedang giat membangunkan satu kertas dasar untuk mengkaji dan mengurangkan Approved Permit (AP) dan Import Permit (IP).
Jelasnya, usaha itu dilihat dapat menurunkan harga barang, khususnya barangan import.
Comentarios