Inflasi berdasarkan Indeks Harga Pengguna bagi Februari 2023 kekal berada pada paras 3.7%.
Hal itu, menurut menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli, adalah baik kerana ia kekal selama 6 bulan berturut turut.
"Kadar ini sama seperti yang dicatatkan pada bulan Januari 2023. Ini adalah untuk 6 bulan berturut turut kadar inflasi kekal mereda.
"Daripada kemuncak September 2022 4.5%, kemudian Oktober 4%, November 4.0%, Disember 3.8% dan Januari 2023 3.7%
"Manakala berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi bulan Februari 2023, ialah 0.2% berkadaran sama dengan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya," kata Rafizi dalam sidang media di Putrajaya, petang ini.
Menurut beliau lagi, penyumbang utama kepada inflasi bulan Februari 2023 adalah kategori Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (7.0%), juga akibat banjir yang meningkatkan harga sayur-sayuran serta kategori Restoran dan Hotel (7.4%) yang disebabkan penambahan pelawat domestik serta antarabangsa kerana industri pelancongan semakin pulih.
Namun katanya, ada berita baik bagi Februari iaitu penurunan harga makanan siap yang dibeli di kedai telah menunjukkan penurunan.
"Sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pada Disember 2022, kadar inflasi secara keseluruhan telah mencapai tahap yang stabil.
"Kita telah melepasi kemuncak kenaikan harga barang, biar pun berlaku kenaikan dalam 0.2%. Namun ini (tidak ketara) dijangka boleh membawa kepada inflasi sekitar 3.1% pada hujung tahun sebagaimana kadar yang ditetapkan.
"Namun begitu, Kerajaan juga sedar harga barang yang kekal tinggi berbanding dengan pendapatan rakyat. Oleh itu, Kerajaan bertekad untuk meringankan beban rakyat dengan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan kos sara hidup, peningkatan pendapatan, dan keupayaan memilih
"Oleh itu Kementerian Ekonomi mengumumkan aplikasi penyemakan harga yang mampu mempamerkan harga harian untuk setiap barang mengikut lokaliti tertentu. Hari ini, rakyat boleh melayari aplikasi KitaJaga dan menyemak harga barangan runcit yang dijual di seluruh negara (sebelum membeli)," katanya.
Konsep aplikasi perbandingan harga itu, tambah Rafizi akan membolehkan rakyat membeli secara bijak dengan adanya data harga barang di hujung jari.
Kementerian Ekonomi katanya, bermula dengan harga barang runcit kerana kebanyakan kenaikan harga tertumpu di kategori tersebut dan akan meluaskan kepada kategori-kategori yang lain untuk kegunaan rakyat.
"Kementerian Ekonomi juga akan bekerjasama dengan pihak perniagaan e-dagang untuk mengembangkan potensi pemantauan harga, supaya rakyat akan membiasakan diri dengan proses perbandingan dan pilihan mengikut data harga yang menyeluruh.
"Ini tidak bermaksud rakyat harus hanya membeli barangan yang murah, tetapi aplikasi sebegini dapat memberi penanda aras (benchmark) kepada pembelian, di samping memupuk minda dipacu data-driven mindset dalam kalangan masyarakat," katanya lagi.
Inisiatif tersebut, kata Ahli Parlimen Pandan itu, adalah hasil kolaborasi antara Kementerian Ekonomi dan KitaJaga, yang membangunkan aplikasi dan kegunaannya (features).
Organisasi KitaJaga, katanya, telah memanfaatkan data terbuka di laman web OpenDOSM yang dilancarkan beberapa bulan dahulu, dan pembangun web serta coders digalakkan untuk terus menggunakan data berbutir (granular) dari OpenDOSM dalam produk bagi memanfaatkan rakyat.
Selain itu pada peringkat seterusnya, Kementerian Ekonomi turut bertekad untuk memberi tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan (“fair price accountability”) dengan membangunkan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara.
Comments