Inflasi pada Disember telah menurun biar pun dalam keadaan harga pengguna yang dianggap tidak banyak turun.
Menurut Menteri Ekonomi. Mohd Rafizi Ramli Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia berada pada paras 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022.
Katanya, peningkatan harga makanan dan minuman di restoran dan hotel lebih dilihat menjadi penyumbang kepada kenaikan kadar inflasi dalam negara.
Sehubungan itu, katanya dalam usaha mengawal inflasi pengguna perlulah lebih peka dengan perubahan harga barangan mentah agar mereka tidak membayar lebih untuk makanan
"Jika di peringkat pengguna itu sendiri tidak aware akan penurunan harga, mereka akan terbiasa membayarnya dengan harga yang mahal.
"Justeru bila ada tanda penurunan harga, rakyat jangan bayar lebih," katanya.
Menurut beliau, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah melancarkan OpenDOSM NextGen pada 12 Januari 2023, iaitu platform data yang berkaitan dengan statistik rasmi yang diterbitkan oleh DOSM dan agensi kerajaan lain.
Platform tersebut mengandungi 28 juta data harga barangan di pelbagai lokasi di seluruh negara daripada aplikasi PriceCatcher yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
"Kami perlukan bantuan dan kerjasaama orang ramai untuk memastikan 28 juta data harga barangan ini mula digunakan rakyat terbanyak untuk membantu kita sama-sama lebih peka turun naik harga.
"Ini supaya bukan sahaja kerajaan pantau harga barang secara makro tapi usaha itu juga kita sama-sama tanggung untuk pastikan kalau ada penurunana inflasi menyederhana, perkara itu akhirnya dapat diterjemahkan kepada harga barang yang dibayar pengguna," katanya lagi.
Selain itu, kata Rafizi, beberapa agensi kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga sedang merangka strategi baharu kepada isu kos sara hidup dan akan diumumkan dalam waktu terdekat.
Comments