Perdana Menteri zahir rafak sembah tahniah sempena Hari Keputeraan Agong
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan tahniah bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
PM dalam ucapannya merafak sembah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat Diraja.
Dalam satu kenyataan PM berkata, beliau bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat, mendoakan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat diraja dikurniakan keafiatan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah.
"Patik bagi pihak Kerajaan MADANI dan sekalian rakyat jelata mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku, Raja Permaisuri Agong dan seluruh Kerabat Diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT," katanya.
Menurut PM lagi, Baginda sebagai Ketua Utama Negara terus memainkan peranan penting dalam memayungi negara dengan sepenuh keadilan dan saksama selaras dengan kedudukan institusi diraja dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini," ujarnya.
Anwar turut menegaskan komitmen Kerajaan dan rakyat untuk terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan.
"Patik dan sekalian rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. Dirgahayu Tuanku!" katanya lagi.




Comments