top of page

Wakil Rakyat Sibuk Beradu, Rakyat di Bawah Menanggung Pilu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2h
  • 2 min read

Oleh: Lai Chen Heng


​ULASAN: Drama politik mengenai pengambilalihan sebuah parti politik pada 17 Mei lalu cuba dipasarkan sebagai kemunculan "Kuasa Ketiga" (Third Force) yang strategik.


Namun, secara intuitifnya, ini bukanlah satu lonjakan visi untuk reformasi negara. Sebaliknya, ia kelihatan seperti langkah menggugat kestabilan yang dicetuskan oleh luapan emosi, frustrasi dalaman yang sepatutnya diselesaikan dalam "keluarga", tetapi kini tumpah ke ruang awam.


​Teknologi tanpa integriti


​Saya mengenali arkitek di sebalik gerakan ini dengan rapat. Sebagai bekas kader dalam kempen Bina Semula Negara dan Ayuh Malaysia, saya menyaksikan sendiri revolusi analisis data raya melalui alat seperti CISTA. Sebelum ini, inisiatif seperti POP16 dan KEMAS25 mewakili masa depan yang penuh harapan dalam KEADILAN, sezaman dengsn inisiatif PADU di bawah kerajaan Malaysia Madani.


​Namun, teknologi secanggih mana pun tidak akan berguna jika pemegangnya hilang integriti dan kompas moral.


​Gema Langkah Sheraton


​Pemilihan parti KEADILAN yang lalu merupakan satu detik hitam. Walaupun ada yang taksub mempersoalkan sama ada keputusan dimanipulasi, saya lebih terkilan dengan budaya politik baharu yang dilahirkannya iaitu pembunuhan karakter dan penghinaan awam dijadikan senjata utama, satu taktik yang saya sendiri turut menjadi mangsa.


​Percikan dalaman ini telah melahirkan satu gerakan yang membawa DNA "Langkah Sheraton". Ia bergantung kepada euforia pengunduran mengejut sambil mendakwa kononnya membawa obor reformasi sejati. Kita pernah melihat skrip ini sebelum ini, ia biasanya berakhir dengan tergugatnya kestabilan kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat.


Pembelotan rohani


​Isu ini amat dekat di hati saya. Sebagai pengundi Ampang dan penduduk Wangsa Maju, melihat kedua-dua Ahli Parlimen tempatan menghadiri pelancaran parti saingan sedangkan masih memegang kerusi sedia ada adalah sesuatu yang amat bermasalah.


​Ini adalah satu 'pembelotan'. ​Sama ada mereka berjaya mencari "lubang tikus" dalam undang-undang untuk memintas Akta Lompat Parti, itu tidak penting. Dari segi semangat mandat rakyat, ia tetap satu pengkhianatan.


Parlimen bukan taman permainan, dan kerusi Parlimen bukan bilik hotel sementara untuk anda menginap mencari tawaran yang lebih lumayan. Ini adalah pengkhianatan kepada setiap pengundi yang memangkah logo parti.


Jangan lupa tanggungjawab kepada rakyat


​Bencilah Perdana Menteri sepuas hati anda, tetapi jangan lupa tanggungjawab anda kepada rakyat. Anda tidak boleh mengabaikan komuniti hanya kerana mengejar ketagihan kuasa. Kita boleh menjangkakan gelombang podcast dan ceramah di kubu kuat KEADILAN untuk menghalalkan tindakan ini, tetapi ingatlah ketika pemimpin mengejar jawatan, kestabilan masyarakatlah yang sebenarnya menjadi taruhan.


​Terdapat perbezaan ketara dari segi maruah di sini, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Sdr Nik Nazmi mengosongkan kerusi mereka. Walaupun saya tidak bersetuju dengan haluan mereka sekarang, saya menghormati tindakan mereka yang berprinsip.


Namun saya tidak boleh mengatakan perkara yang sama bagi mereka yang masih berpaut pada elaun Ahli Parlimen sambil "bermain cinta" dengan parti lawan.


​Tatakelola negara bukan satu hobi. Percaturan wakil rakyat memberi kesan kepada pekerjaan kita, ekonomi kita, dan masa depan anak-anak kita. Apa yang berlaku dalam "Vegas" percaturan politik ini akhirnya akan memberi kesan buruk kepada kita di rumah.


Kita memerlukan pemimpin yang mempunyai tulang belakang, bukan mereka yang menganggap amanah rakyat sebagai "tali hayat" untuk kelangsungan politik sendiri.


Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis, bukan pendirian rasmi Suara Keadilan

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page