Industri nanas bakal raih manfaat besar perluasan SST
- Suara Keadilan
- Jun 12
- 2 min read

Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5% ke atas semua buah-buahan import bakal menggalakkan pertumbuhan dan pengukuhan industri buah-buahan tempatan.
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik perubahan dasar fiskal itu yang telah diumumkan menerusi Belanjawan 2025 lalu.
Pengerusinya Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan hasil negara, malah membuka ruang lebih besar kepada pembangunan serta pengukuhan industri buah-buahan tempatan khususnya nanas.
"Nanas – sebagai salah satu komoditi utama negara – berpotensi besar untuk mengambil manfaat daripada perubahan ini apabila pengguna terdorong beralih kepada buah-buahan tempatan.
"Peningkatan permintaan termasuk nanas, khususnya varieti premium seperti MD2 akan membuka peluang kepada pekebun dan pengusaha tempatan untuk memperluas kawasan tanaman serta meningkatkan kapasiti pengeluaran sekaligus menambah pendapatan mereka," katanya.
Sementara itu Sheikh Umar menerusi kenyataan sama turut menyifatkan perubahan dasar fiskal bakal merangsang pertumbuhan sektor hiliran nanas antaranya industri pemprosesan jus, produk makanan ringan serta kosmetik di negeri-negeri pengeluar utama nanas seperti Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Kewujudan industri hiliran itu dijangka bakal mencipta peluang pekerjaan dan menambah nilai eksport negara.
"Lonjakan permintaan dijangka menarik pelaburan baharu dalam teknologi pertanian pintar, pusat pengumpulan, pembungkusan serta sistem logistik dan pengedaran yang lebih cekap
"Dalam jangka panjang, peluasan SST ini dilihat sebagai langkah menyokong sekuriti makanan negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan," tambahnya.
Justeru menurut beliau, LPNM sebagai agensi utama yang menerajui pembangunan industri nanas negara komitmen untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri, agensi pertanian, pelabur swasta dan golongan belia bagi memastikan pembangunan industri ini terus mampan.
Kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Kadar Cukai Jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan asas rakyat, manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Comments