Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyifatkan Indonesia sebagai sebuah negara yang istimewa dalam perjalanan politiknya.
Ketika ditanya seorang wartawan Indonesia mengapa memilih negara itu untuk lawatan rasmi pertama ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 November lalu, Anwar menegaskan Indonesia selain negara jiran, serumpun juga sebagai 'sahabat sejati'
"Dalam keadaan saya terlempar, terbuang, tersisih, Indonesia itu terima saya sebagai sahabat sejati," katanya merujuk kepada keberadaan beliau yang pernah melalui pelbagai liku hidup sebagai seorang ahli politik dan pejuang reformasi suatu ketika dahulu.
Anwar sedang dalam rangka lawatan rasmi negara dua hari ke republik itu.
Petang tadi, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia serta penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LOI) oleh syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan Indonesia.
Majlis yang diadakan di Hotel Grand Hyatt Jakarta itu dihadiri Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi serta Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia, Basuki Hadimuljono.
Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zamri Abdul Kadir.
Ditemani isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Anwar bakal mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) di Istana Bogor hari ini.
Comments