top of page

Indeks kebebasan media jatuh 18 mata: Tahniah kejayaan 'membanggakan' dari PN - Fahmi



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepanjang lebih setahun memerintah telah 'berjaya' merosotkan kebebasan media di Malaysia.


Merujuk carta Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 yang diterbit Reporters Without Borders (RSF) yang dikeluarkan semalam, Malaysia jatuh 18 anak tangga ke kedudukan 119, iaitu lebih teruk daripada Guatemala (116), Gabon (117) dan Congo-Brazzaville (118) tetapi lebih baik sedikit berbanding Nigeria (120), Nicaragua (121) dan Afghanistan (122).


Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, kejatuhan itu adalah yang paling buruk di antara 180 negara yang dipantau RSF.


"Ini adalah satu lagi ‘kejayaan’ Kerajaan PN. Tahniah saya ucapkan khusus buat Menteri Komunikasi dan Multimedia di atas ‘kejayaan’ yang amat ‘membanggakan’ ini.


"Namun begitu, ini sememangnya bukan satu pencapaian yang baik atau patut dibanggakan. Media yang terkongkong dan takut pada pemerintah mewujudkan suasana yang tidak baik, terutama apabila pemerintah salah guna kuasa, rasuah dan tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.


"Media yang tunduk sudah pasti hanya akan mengiakan kebobrokan dan kezaliman yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Jurucakap KEADILAN bagi Komunikasi, Seni dan Budaya itu lagi, kebebasan media di Malaysia perlu dikembalikan ke landasan sebenar bagi membantu menjadikan Malaysia negara yang lebih diterima pelabur luar.


Katanya, terdapat beberapa perkara asas yang perlu diperbaikki


"Apabila negara kita berlandaskan hukum (rule of law), amalan demokrasinya sihat, dan medianya berani lagi bebas, maka rakyat yang merupakan pembayar cukai sudah pasti akan menyaksikan pentadbiran yang adil dan baik.


"Malah pelabur antarabangsa juga akan yakin dan bersedia melabur di Malaysia. Ini akan menghidupkan semula ekonomi kita yang kian lesu," katanya.


Oleh itu, Fahmi mengesyorkan beberapa langkah sesuai untuk memulihkan media Malaysia ke kedudukan yang boleh diterima.


Pertama: Wujudkan Majlis Media yang bebas. Kerajaan perlu segera meneruskan semula perbincangan dengan jawatankuasa sementara bagi penubuhan Majlis Media Malaysia, dan memberi komitmen bila Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia akan dibentang di Parlimen. Majlis Media yang bebas dan ditadbir sendiri oleh pengamal media amat diperlukan untuk memastikan media mampu memainkan peranan pelapor berita yang berani kerana benar.


Kedua: Mansuhkan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No. 2) 2021 berkenaan berita palsu. Ordinan Darurat ini perlu dimansuhkan kerana ia bukan sahaja menghidupkan semula Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang telah dimansuhkan Parlimen pada Oktober 2019, tetapi ordinan tersebut pada ketika ini membuka ruang terlalu luas kepada Kerajaan untuk mentafsirkan apa berita yang benar dan apa yang tidak, selain denda dan hukuman yang sukar diterima.


Ketiga: Mansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, serta pinda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Dua Akta ini sering diguna untuk menekan penerbit akhbar dan portal berita dalam talian. Oleh itu, pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta pemindaan Akta Komunikasi dan Multimedia amat diperlukan untuk menyelaras undang-undang tersebut dengan semangat memperkukuh fungsi media sesuai dengan peredaran zaman, tanpa menjejas keharmonian dan perpaduan masyarakat.


Keempat: Perdana Menteri perlu segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen. Parlimen sebagai institusi demokrasi terulung negara memainkan peranan penting sebagai tempat masalah rakyat didengari, dan di mana pentadbiran kerajaan diteliti dalam proses semak imbang. Parlimen yang mampu berfungsi dengan baik akan menambahkan keyakinan rakyat malah juga masyarakat antarabangsa bahawa negara kita diurus dengan baik.


Sehubungan itu, sebagai langkah pertama, Fahmi menyeru agar Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin menasihati DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.


Pembukaan Parlimen katanya, akan memberi isyarat kepada pelabur luar bahawa Malaysia cuba bergerak ke arah memulihkan sistem pemerintahan demokrasi dan seterusnya menamatkan darurat.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page