Indeks Governans Malaysia kayu ukur tahap tatakelola baik - PM
- Suara Keadilan

- Jul 6, 2023
- 2 min read

Kerajaan Perpaduan akan menjadikan Indeks Governans Malaysia sebagai kayu ukur pelaksanaan tatakelola baik dalam pentadbiran awam di negara ini.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu akta juga sedang dikaji untuk memastikan tatakelola baik dilaksanakan oleh mana mana kerajaan yang memerintah Malaysia.
"Indeks Governans Malaysia akan dijadikan mekanisme pengukuran tahap tata kelola baik manakala kajian pengwujudan Akta Tata Kelola akan dilaksanakan bagi memastikan amalan tata kelola baik yang berkesan," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 yang diadakan petang tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, penyerapan fungsi GIACC di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diakui mesyuarat sebagai keputusan tepat untuk mengoptimumkan sumber dan memastikan pelaksanaan dasar yang lebih berkesan.
Selain itu, kata PM, mesyuarat juga bersetuju agar pengisytiharan harta oleh Anggota Pentadbiran dikuatkuasakan semula setelah format baharu yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ditambah baik.
"Mesyuarat juga memberi fokus kepada syor penambahbaikan tatakelola yang lebih holistik. Langkah ini penting untuk mempertingkat kebertanggungjawaban, ketelusan, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran Kerajaan.
"Justeru, ekosistem tatakelola baik negara akan diperkukuh melalui Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) sebagai panduan sektor awam berhubung pelaksanaan prinsip-prinsip tadbir urus baik," katanya.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) turut disentuh dan disyorkan untuk dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri bagi tindakan susulan bermula LKAN tahun 2022 dengan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan akan diambil tindakan secara lebih berkesan.
Manakala satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) akan dibentuk dan dijadikan platform bagi menggalakkan amalan prinsip tata kelolabaik supaya diambil kira dalam perancangan dan pembangunan dasar serta pelaksanaan inisiatif serta program oleh semua agensi di sektor awam.
"JKKTN juga akan diperkasa untuk meneliti isu-isu kelemahan tata kelola melibatkan Badan Berkanun termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan Kerajaan.
"Juga Had bilangan Lembaga Pengarah yang boleh dianggotai oleh seseorang penjawat awam melibatkan Badan Berkanun, subsidiari dan entiti yang mempunyai kepentingan Kerajaan akan dikaji semula bagi meningkatkan keberkesanan peranan penjawat awam dalam Lembaga Pengarah," katanya.
Mesyuarat turut membincangkan status pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif-inisiatif antirasuah selaras dengan Perkara 5 dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC).
Di samping itu, kata Anwar, kerajaan juga memandang serius isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran Kerajaan.
"Sehubungan itu, satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalahguna bagi tujuan kepentingan peribadi," kata PM lagi.




Comments