
Malaysia berada di kedudukan hampir tercorot dalam indeks gender global yang memerlukan penyusunan semula polisi gender negara.
Oleh itu, Wanita KEADILAN mengambil inisiatif melancarkan road map Pelan Tindakan Gender Negara bagi memberi panduan kepada pihak kerajaan sekiranya ingin berkongsi strategi dalam membangunkan kesaksamaan gender.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh, road map berkenaan dilihat sangat sesuai memandangkan negara masih di tahun awal Rancangan Malaysia ke 12, menuju kemampanan gender pada 2030 sebagaimana digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
"Kita ada masa, RMK 12 adalah sekarang hingga 2030. Jadi amat penting kita memperkenalkan pelan tindakan gender negara ini kerana kedudukan Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global bermula pada 2006 (agak buruk).
"Pada tahun 2018 sehingga 2021 kita ditahap 112 daripada 156 negara. Pada 2018 kita ditangga ke 63 tetapi kita jatuh sehingga 112 kemudiannya.
"Malah di Asia Tenggara dan Pasifik kita berada di tangga terbawah berbanding Brunei, Myanmar, China dan Kemboja. Mereka mendahului kita dari sudut ranking.
"Apa dia sebenarnya menyebabkan kita jatuh begini sedangkan kita ada komitmen untuk kesaksamaan gender? Apa yang saya ingin katakan kita sudah jauh lari dari trajektori asal. Kita komited secara verbal, wujudkan pelan tindakan tetapi halangan tidak diatasi bersungguh-sungguh.
"Jadi intervensi perlu dilakukan pada hari ini berbekalkan iltizam yang kuat kepada satu laluan yang baru. Jurang gender makin melebar dan perlu dibetulkan hala tuju. Kita kena kenal pasti halangan dan memantau ke arah destinasi kesaksamaan gender tersebut," katanya dalam majlis pelancaran Pelan Tindakan Gender Negara di ibu pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya, petang tadi.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu lagi, apabila diperkatakan mengenai kesaksamaan gender bukan bermaksud Wanita KEADILAN hanya menumpukan kepada golongan wanita sahaja, sebaliknya kaum lelaki juga dipastikan akan mendapat pembelaan sama.
"Apabila kita bercakap tentang kesaksamaan gender kita harus memastikan bahawa lelaki dan wanita mendapat hak mereka, keperluan mereka dan tidak ada yang ketinggalan. Maksudnya dalam kita memperjuangkan wanita lelaki tidak ketinggalan.
"Kita tak mahu anak-anak lelaki kita ketinggalan. Contohnya pendidikan. Ramai anak perempuan graduan dari IPT, kita harus soal kenapa anak lelaki bukan graduan universiti.
"70% graduan adalah wanita. Hanya 30% lelaki. Kesaksamaan gender mempersoalkan kenapa lelaki tidak sama-sama mempunyai daya saing untuk ke universiti. Itu kita lihat dalam kesaksamaan gender," katanya.
Selain itu, Fuziah juga tidak mahu masyarakat salah faham dan menyamakan perkataan gender dengan isu-isu panas yang melibatkan transgender.
Katanya, gender melibatkan lelaki dan wanita, bukan seperti di sesetengah negara liberal memperjuangkan hak gender ketiga.
Beliau turut agak kecewa kerana Malaysia telah mempunyai strategi berkaitan kesaksamaan gender sejak hampir dua dekad lalu tetapi pencapaiannya masih dangkal.
"Jadi kalau kita tengok sejarah, kita telah memberi komitmen dalam kesaksamaan gender dan telah diperkenalkan di beberapa peringkat.
"Baru-baru ini PM menyatakan kesaksamaan gender dalam RMK 12. Jadi daripada awal lagi Malaysia tunjuk komitmen terhadap pencapaian matlamat pembangunan mampan.
"Pada 2004 Malaysia telah mewujudkan jawatankuasa kabinet tentang kesaksamaan gender dan melaksanakan projek rintis yang merangkumi 4 - 5 kementerian. Pada 2009 Pelan Pembangunan Wanita dibentang oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Sejak tahun 2000 pula telah ada komimen kepada kesaksamaan gender," katanya.
Bagaimanapun, di tangan menteri-menteri kerajaan BN tidak ada hasil yang memuaskan dicapai kerana tidak mempunyai road map yang memandu dasar kesaksamaan gender yang jelas.