top of page

Imunisasi tambahan percuma cegah Measles kanak-kanak 6-59 bulan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 3
  • 1 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella (MR SIA) bagi kanak-kanak berumur enam hingga 59 bulan, bermula Isnin depan hingga 12 Okt ini di seluruh negara.


Kementerian itu menerusi satu kenyataan berkata, Inisiatif itu sebagai langkah memperkukuh program imunisasi sedia ada dengan meningkatkan dan memulihkan tahap imuniti kelompok (herd immunity) dengan menyasarkan kanak-kanak yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025.

"Program ini juga menyokong matlamat negara ke arah penghapusan penyakit Measles menjelang 2030, selain bertujuan meningkatkan liputan imunisasi dan memberi perlindungan awal bagi mencegah penularan lebih meluas," menurut kenyataan itu.


Measles dan Rubella merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan telinga, radang paru-paru (pneumonia), radang otak (ensefalitis), sawan serta kematian.


Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin MMR (Measles, Mumps dan Rubella) diberikan pada usia sembilan dan 12 bulan, manakala di Sabah, satu dos tambahan vaksin Measles diberikan pada usia enam bulan.


KKM dalam kenyataan sama memaklumkan, statistik menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda kes Measles pada 2024, dengan 3,791 kes dilaporkan berbanding 2,002 kes pada 2023, selain pertambahan wabak kepada 231 berbanding 112 pada tahun sebelumnya.


Sebanyak 44.1 peratus daripada kes membabitkan kanak-kanak bawah lima tahun, manakala 28.9 peratus melibatkan bukan warganegara — dengan 84.3 peratus daripada mereka tidak pernah menerima sebarang vaksin.


"Tiga kematian dilaporkan pada tahun 2024, membabitkan kanak-kanak bukan warganegara berusia lapan bulan, tiga tahun dan 17 tahun — kesemuanya tidak pernah divaksin.


"KKM menyeru ibu bapa dan penjaga agar membawa anak-anak yang layak menerima suntikan tambahan vaksin MR secara percuma. Kanak-kanak yang layak juga boleh hadir secara walk-in ke klinik kesihatan kerajaan," menurut KKM.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page