Import AS: Tarif dikenakan hanya 5.6% bukan 47% - PM
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan MADANI menyangkal dakwaan pihak Amerika Syarikat (AS) bahawa Malaysia telah mengenakan tarif sebanyak 47 peratus ke atas barangan import dari negara itu ke Malaysia.
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perkara itu tidak benar dan ianya disanggah oleh banyak negara kerana jumlah import AS dari Malaysia 2024 mesti diukur secara menyeluruh dan tidak digunakan sebagai asas untuk mengenakan tarif timbal balas 24 peratus.
''Jadi kita menganggap pengiraan ini tidak mencerminkan tahap tarif sebenar dan tidak berlandaskan teori ekonomi yang kukuh.
''Wakil kita Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengemukakan (hal itu) secara langsung kepada pimpinan AS.
''Secara purata, tarif yang dikenakan ke atas import barangan AS hanya pada kadar 5.6% dan ini diakui oleh pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat dalam laporan (mereka),'' jelas beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjelaskan perkara tersebut dalam sidang khas yang diadakan hari ini bagi membincangkan mengenai isu tarif timbal balas AS.
Pada 3 April lalu, Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia.
Antara tarif timbal balik yang tinggi dikenakan adalah terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah 20 peratus, Vietnam 46 peratus, Sri Lanka 44 peratus, Kemboja 49 peratus, Laos 48 peratus dan Myanmar 44 peratus.