IMD World Talent Ranking: Malaysia lonjak ke tangga 25 dunia
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-25 dalam IMD World Talent Ranking 2025.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong (gambar) berkata, peningkatan itu membuktikan keberkesanan transformasi dasar di bawah Kerajaan MADANI yang memberi penekanan kepada pemerkasaan tenaga kerja tempatan melalui pendidikan, peningkatan kemahiran dan pemahiran semula.
"Peningkatan ini mencerminkan pelaburan strategik negara dalam pendidikan, kesiapsiagaan kemahiran serta pengekalan bakat tempatan menjadikan Malaysia semakin kompetitif dan antara destinasi pilihan profesional global," katanya.
Di peringkat Asia Pasifik, Malaysia kini berada di kedudukan kelima selepas Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Australia.
Sementara itu menurut Steven Sim, bagi memperkukuh pembangunan bakat masa depan, TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menggerakkan Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) dan program Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) bagi memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan industri.
"Inisiatif itu sejajar dengan amalan antarabangsa yang menekankan penyelarasan pembangunan kemahiran mengikut sektor, penglibatan majikan, serta integrasi kemahiran insaniah dan teknikal bagi memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan industri," katanya.
KESUMA juga, menurut beliau, melaksanakan kajian khusus mengenai impak AI, digital dan ekonomi hijau, serta menerbitkan Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL) untuk memastikan pembangunan bakat selaras dengan keperluan industri.
"Pendekatan bersepadu meliputi pendidikan, latihan, kerjasama industri-akademia dan dasar tenaga kerja adalah kunci menjadikan Malaysia hab bakat serantau yang kompeten di pentas global," tambahnya.
Comments