Imbau memori sekolah, tekad perkukuh perpaduan - Yuneswaran
- Suara Keadilan

- 19 hours ago
- 2 min read

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran menzahirkan rasa syukur dan penuh emosi apabila berpeluang kembali ke sekolah rendah lamanya di Sungai Besar, Selangor selepas 28 tahun, sekali gus mengimbau pelbagai kenangan yang membentuk perjalanan hidup beliau hari ini.
Menurut beliau, memori di bangku sekolah bukan sekadar kenangan biasa, sebaliknya merupakan cebisan jiwa yang membentuk jati diri dan prinsip perjuangannya.
"Saya memulakan perjalanan pendidikan di SJKC Sin Min. Walaupun hanya sehingga tamat Darjah Enam, kisah sekolah rendah saya kekal terpahat kemas dalam hati dan ingatan," katanya dalam muat naik di media sosial.
Beliau berkata, di sekolah tersebut beliau menerima pelbagai pengalaman bermakna termasuk diberikan nama Cina oleh guru kelas sebagai simbol penerimaan dalam kepelbagaian budaya, selain menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang amat besar ertinya ketika keluarganya berdepan kesukaran hidup.
"Tahun 1993 hingga 1998 bukan sekadar angka. Ia adalah fasa kehidupan yang mengajar saya tentang erti persahabatan, kesusahan dan harapan," ujarnya.

Yuneswaran berkata, kepulangannya kali ini ke sekolah berkenaan bukan lagi sebagai murid, tetapi sebagai Wakil Rakyat dan Timbalan Menteri dalam satu lawatan rasmi. Namun, sebaik melangkah masuk ke kawasan sekolah, segala pangkat dan jawatan dirasakan hilang.
"Namun sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan sekolah, segala pangkat dan jawatan terasa hilang… yang tinggal hanyalah seorang anak kecil yang pernah berlari di koridor yang sama, duduk di kelas yang sama, dan belajar daripada guru-guru yang sama," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada guru-guru yang pernah mendidiknya, termasuk seorang guru Matematik yang tegas, namun ketegasan itulah yang akhirnya membentuk keyakinan dalam menguasai ilmu kira-kira.
Selain itu, beliau berkata suasana muhibah dan kepelbagaian budaya di Sungai Besar banyak membentuk pandangan hidupnya.
"Sungai Besar bukan sekadar tempat saya membesar di sinilah saya belajar tentang kepelbagaian, kebersamaan dan perpaduan.
"Saya membesar dalam suasana muhibah, memahami budaya dan agama rakan-rakan daripada pelbagai kaum. Harmoni yang wujud ketika itu membentuk pandangan hidup saya hingga ke hari ini, dan menjadi asas kepada perjuangan saya dalam memperkukuh perpaduan negara," jelasnya.

Selepas menamatkan pendidikan rendah, beliau meneruskan pelajaran di SMK Seri Bedena sehingga Tingkatan Tiga sebelum berpindah ke Johor.
Mengakhiri kenyataan, Yuneswaran menegaskan bahawa kisah zaman persekolahannya yang sederhana namun penuh makna itu sentiasa mengingatkan beliau tentang asal-usul dan tanggungjawabnya kepada rakyat.
"Memori ini tidak pernah hilang ditelan masa. Ia sentiasa hidup dalam hati saya, mengingatkan saya tentang dari mana saya datang… dan untuk siapa saya terus berjuang hari ini," katanya lagi.









Comments