
Tindakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mencabar Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mendedahkan kekayaannya, senada dengan cabaran Tun mahathir Mohamad sebelum ini, menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan pemerhati politik.
Setelah Bersatu secara rasmi meninggalkan Tun secara rasmi pada Februari 2020, apakah Faizal atau malah Bersatu pada waktu ini mula mengiktiraf peranan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) tersebut.
Bagi Pengarah Biro Komunikasi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung, hal tersebut tidak mustahil kerana sebelum ini Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang telah terlebih dahulu 'bekerjasama' dengan menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang ditaja oleh Mahathir.
"Kini, Faizal sebagai pimpinan kanan BERSATU dilihat mendokong kenyataan beliau. Jelas bahawa pengaruh Pas dan Bersatu dilihat makin merosot sehingga perlu bergantung kepada kekuatan Mahathir.
"Amat pelik juga pimpinan ulung mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun diketepikan.
"Bukan itu sahaja, Ketua Pembangkang PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut terpinggir untuk memberikan ruang kepada Mahathir. Tahniah buat Mahathir kerana beliau mungkin telah menjadi “Ketua Umum” kepada PN," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya itu turut menempelak dakwaan kononnya Anwar tidak pernah mengisytiharkan hartanya.
Kata Chean Chung, Anwar telah berbuat demikian sewaktu Pakatan Harapan berkuasa dan kemudian melakukannya sekali lagi pada 9 November 2022 sebagai inisiatif ketelusan KEADILAN untuk mewajibkan semua calon-calon yang bertanding mengisytiharkan harta.
Namun beliau berasa hairan kerana pemimpin Bersatu yang berdegar degar mahu Anwar mengisytiharkan harta tidak pernah pula melakukannya secara terbuka dan sukarela.
"Malangnya, walaupun Bersatu - Pas sering kali melabelkan diri sebagai blok yang bersih dan beramanah, langkah-langkah membina budaya politik yang sihat dan telus ini tidak diamalkan.
"Malah, Presiden Bersatu kini berhadapan dengan isu akaun parti yang dilambakkan dengan duit semasa negara berhadapan dengan krisis Covid 19 dan kini perlu menjawab di mahkamah.
"Oleh itu, saya menyeru agar rakyat boleh menilai perangai pimpinan-pimpinan PN ini secara terbuka (dan matang)," katanya lagi.
Tegas Chean Chung, amat jelas fokus pemimpin PN menimbulkan pelbagai isu bukan untuk menjadi pembangkang yang baik atau memajukan ekonomi serta meringankan beban rakyat, sebaliknya percaturan politik merebut kuasa yang bersifat oportunis, iaitu sudi bekerjasama dengan sesiapa sahaja asaskan terus kekal relevan.
Comments