Ikut Perlembagaan PM hilang majoriti wajib letak jawatan - Dr Aziz Bari



Kemelut politik tanah air tidak perlu dipanjangkan dengan pelbagai ulasan oleh pihak yang cuba mengelirukan serta tidak berhujah berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Menurut mantan profesor kuliyah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Aziz Bari, Perlembagaan ditulis dengan jelas, apabila seseorang Perdana Menteri (PM) telah kehilangan sokongan maka pilihan beliau sangat terhad, iaitu meletak jawatan atau meminta membubarkan Parlimen.


Katanya, tidak dinyatakan pilihan membawa hal itu ke Parlimen dan diuji dengan Undi Tidak Percaya atau lain-lain cadangan seperti yang dipropagandakan oleh media arus perdana muktahir ini.


"Perlembagaan kata apabila seseorang PM hilang sokongan maka dia wajib letak jawatan. Tidak timbul soal Parlimen dan sebagainya. Ini berlaku di Malaysia dan negara-negara Wesminister.


"PM boleh letak jawatan atau minta raja, presiden atau gabenor jeneral bubar dewan kalau dibenarkan. Kalau tidak, dia perlu letak jawatan. Ada dua pilihan saja, bukan tiga atau empat. Tak ada soal Parlimen. Itu tak disebut dalam Perlembagaan. Mengapa kita buat sesuatu perkara yang tak perlu?


"Atau panggil presiden (ketua) parti buat apa, buang masa sahaja. Kalau betul apa yang didakwa oleh Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim), lantik sahaja, dia akan pergi ke Parlimen dan parliament will deal with him


"Di sana ada orang akan test sokongan dia. Kalau betul ada 120 (Ahli Parlimen), dia akan kekal sebagai PM. Tak perlu kita pening. Dalam babak ini hanya Agong saja yang terlibat. Tak ada mahkamah, tak ada apa.


"Ini yang saya kesal. Rakyat jadi keliru (proses peralihan kuasa). Media pula putar belit cerita yang tak masuk akal dan rakyat makin bingung," katanya dalam sesi siaran langsung Facebook anjuran KEADILAN Ipoh Timur malam tadi.


Pakar undang-undang Perlembagaan itu menjelaskan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia tidak sama dengan di Amerika Syarikat atau Indonesia. Apabila kerajaan dilantik maka ia bertahan untuk tempoh 4 tahun.


Di Malaysia, katanya, kerajaan boleh tumbang apabila gagal mengekalkan majoriti 112 daripada 222 kerusi Parlimen. Oleh itu, kerajaan baharu perlu dilantik segera dan tidak perlu mengekalkan suasana tidak menentu berpanjangan.


"Dalam sistem kita sesebuah kerajaan boleh jatuh bila-bila masa kalau gagal mengekalkan majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi. Dikira hilang kepercayaan dan PM wajib meletak jawatan. Itu pada prinsip.


"Sekarang apa yang berlaku Tan Sri Muhyiddin yang dilantik enam bulan lepas, terdengar dakwaan Ahli-ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada beliau telah menarik balik sokongan. Beliau tidak lagi memilikki minimum 112 seperti yang disyaratkan, selepas Datuk Seri Anwar mengadap Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong


"Namun selepas (Anwar mengadap) itu beliau (Muhyiddin) masih lagi mendakwa beliau memiliki majoriti yang kredibel.


"Jadi hal ini (Muhyiddin kekal sebagai PM) saya fikir tidak perlu. Saya fikir barangkali ini boleh diibaratkan perlawanan bola sepak. Ada satu pasukan di hadapan (jaringan gol lebih banyak), penonton resah sebab pengadil tidak tiup wisel. Dia biarkan perlawanan berlarutan, jadi kita bayangkan apa yang berlaku," katanya.


Dr Aziz turut menjelaskan tidak ada keperluan untuk mempertikaikan Akuan Berkanun (SD) Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar sama ada ia dibuat secara jujur atau tidak. Hal itu katanya telah jelas di sisi undang-undang.


"Apabila Datuk Seri Anwar mendakwa beliau punya sokongan, beliau patut dipanggil mengadap dan terpulang bagaimana untuk memeriksa bahawa dakwaan itu benar.


"Zaman sekarang undang-undang kita telah menyediakan SD, dan saya fikir tak perlu kita pening. Kalau Ahli Parlimen A telah buat satu SD menyokong seseorang, tak perlu kita pertikaikan dan go beyond the SD.


"Kalau dia menipu kita boleh bawa dia ke mahkamah, boleh didakwa. Mengapa buang masa nak pastikan betul ke orang itu sokong Datuk Seri Anwar?" ulasnya lagi.


Forum bertajuk 'Celik Perlembagaan dari pakar 2' itu dipengerusikan oleh Shaiful Arifin. Selain Dr Aziz, forum turut mengundang aktivis masyarakat, Dr Khairudin Abd Malik sebagai ahli panel.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
10,710
153
5778
Total
916,561
7019
784,949

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
491,381
8,692
392,980
Total
186,407,192
4,028,301
168,805,736

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER