Ikut duluan, Mahiaddin telah tumbang: 'Letaklah jawatan secara bermaruah' - Shamsul Iskandar


Pergolakan politik di Malaysia tidak akan selesai selagi Perdana Menteri (PM) yang telah hilang majoriti di Parlimen, Tan Sri Mahiaddin Yassin tidak meletak jawatan.


Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, penarikan sokongan Umno dari kerajaan Perikatan Nasional semalam bukanlah suatu guruan dan boleh dikesampingkan begitu sahaja oleh pemerintah.


Katanya, dengan penarikan sokongan tersebut maka Mahiaddin terang-terangan merupakan seorang PM yang tidak lagi absah untuk kekal mengemudi kerajaan.


"Jelas dengan keputusan Umno menarik sokongan kepada PM, secara Perlembagaannya tercabutlah sokongan kepada Mahiaddin


"Tidak ada cara bermaruah selain meletakkan jawatan dan menyerahkan kepada institusi istana untuk menjalankan proses pemilihan PM yang baru sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan


"PM tidak lagi absah kerana susulan keputusan Majlis Tertinggi Umno, kenyataan dari pimpinan Umno (lain) jelas. Seperti kita tengok (misalnya) Azlina Othman Said (Ahli Parlimen Pengerang) yang menyatakan beliau menarik sokongan kepada Mahiaddin," katanya dalam forum maya "Segmen Khas IDE: Negaraku", di Facebook


Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, pendapat Peguam Negara bahawa kerajaan PN tidak tumbang kerana pengumuman dibuat oleh ketua parti dan bukannya Ahli-ahli Parlimen yang mendukung Mahiaddin tidak terpakai berdasarkan duluan ketika PM itu dilantik pada 1 Mac 2020 lalu.


Menurut Shamsul, Mahiaddin dilantik melalui surat dari ketua-ketua parti dan bukan surat sokongan Ahli Parlimen.


"Dalam hal ini kita ada dua senario. Mula-mula dulu ketika Bersatu umum keluar dari Pakatan Harapan maka PM Tun Mahathir letak jawatan kerana tiada lagi sokongan. Surat diutus ke istana memaklumkan beliau tidak ada lagi sokongan.


"Sekarang perkara sama berlaku. Pengumuman bahawa Umno tidak lagi menjadi komponen kerajaan PN. Maka di atas kertas hilang 38 kerusi (Ahli Parlimen). Seperti dulu, Bersatu (kita) hilang sokongan mereka.


"Pada saya apa yang Peguam Negara katakan, tidak sama duluan dengan yang ditunjukkan dalam kes pertukaran kerajaan sebelum ini.


"Bagi saya apa yang dibuat oleh Peguam Negara ini boleh ditafsirkan seolah-olah memberikan nyawa kepada PM untuk terus berkuasa walhal dia tidak ada lagi keabsahan, sesuai dengan duluan," katanya.


Tegas Shamsul, Mahiaddin tidak boleh dipertahankan lagi kerana selama ini pun beliau tidak pernah membuktikan keabsahannya sebagai PM melalui Undi Percaya di Parlimen.


Setelah berlaku penarikan sokongan, tambah Shamsul, maka tidak selayaknya Mahiaddin terus dikekalkan memerintah


"Kalau tengok sejarah Tun Hussein, apabila beliau menjadi PM apakah perkara pertama yang beliau lakukan? Beliau pergi ke Dewan Rakyat dan membuat Undi Percaya. Adakah itu dibuat Mahiaddin sewaktu beliau mula-mula angkat sumpah PM dan masuk Parlimen?


"Sekali lagi duluan yang mencerminkan kerangka demokrasi tidak dilakukan. Dalam konteks Umno menarik sokongan dari PN, jelas maknanya kes duluan tidak diikuti.


"Tiada sebab (bagi Mahiaddin berdegil) kecuali memang tak nak berundur, kecuali mahu terus berada dalam keadaan igauan bahawa beliau masih PM yang disokong oleh Ahli Parlimen atau komponen," katanya.


Menjawab persoalan adakah boleh terus diberi peluang kepada kerajaan PN memerintah atas alasan Covid 19 dan ruang yang lebih banyak untuk membantu rakyat, Shamsul menegaskan peluang telah diberi secukupnya tetapi PN telah gagal.


"Ketua Pembangkang sejak mula-mula PM isytihar darurat tidak putus-putus beri kritikan keras terhadap cara kerajaan kendalikan kes Covid 19.


"Kes 8,000 (semalam) jadi yang tertinggi. Saya fikir ini membimbangkan kita. Justeru kalau lihat niat asal diwujudkan darurat itu untuk menangani Covid dengan harapan kes turun.


"Tetapi natijahnya kes meningkat. Bulan 7 naik 8,000, bulan 8 mungkin naik 9,000. Bagi saya kita perlu ambil tindakan tegas. Takkan kita nak biarkan negara terus menerus dalam haluan begini.


"Apa yang dilakukan oleh Umno kalau tengok kenyataan Zahid, mereka letak kerangka kerajaan gagal sebagai asas utama (tarik diri).


"Sementara kita akui negara bergelut masalah pandemik, rakyat telah beri peluang. Ahli Parlimen juga beri peluang. Sebagai Ahli Parlimen kita tidak boleh pergi ke Parlimen dan bercakap hanya melalui webinar.


"Jadi (dalam hal ini) kita meletakkan seluruh (dasar) kerajaan kepada kabinet. Tidak ada pandangan lain (diterima)," katanya lagi.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
19198
292
20980
Total
1,979,698
20,711
1,721,710

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
349,788
5,246
372,363
Total
225,423,690
4,643,538
200,274,221

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER