Ikon KEADILAN: Bukan Sekadar Kenang Jasa Tetapi Pedoman Masa Depan
- Suara Keadilan
- Apr 19
- 2 min read

Oleh: Sandy Zaliu
ULASAN: Setiap perjuangan memerlukan wajah. Wajah yang bukan sekadar dikenang tetapi dihayati. Dalam KEADILAN, kita memiliki tokoh yang telah menabur bakti, berjuang dalam getir dan menyalakan obor perubahan. Namun sehingga hari ini, perjuangan mereka lebih banyak tersebar dalam cerita lisan bukan dalam bentuk penghargaan rasmi yang tersusun.
Sudah tiba masanya KEADILAN memperkenalkan satu bentuk pengiktirafan ikon parti secara sistematik. Bukan hanya di peringkat pusat malah diperluas ke peringkat negeri dan cabang.
Kenapa perlu ada ikon?
Ikon bukan untuk diagung-agungkan. Ikon adalah simbol. Mereka menjadi naratif hidup kepada idealisme parti. Dalam suasana politik yang semakin dibayangi perebutan jawatan dan permainan persepsi, akar umbi perlu kepada pedoman yang membumi. Mereka perlu kenal siapa yang telah membina tapak perjuangan ini dan mengapa parti ini ditubuhkan.
Generasi muda dalam KEADILAN hari ini tidak melalui zaman lokap dan demonstrasi jalanan. Mereka masuk parti dengan telefon pintar, bukan gari di tangan. Jika parti tidak membina naratif perjuangan secara konsisten, generasi ini hanya akan kenal struktur bukan semangat.
Maka senarai ikon rasmi ini perlu diwujudkan untuk memperkukuh hubungan antara sejarah dan masa depan parti.
Ikon KEADILAN Pusat:
Anwar Ibrahim. Pengasas Reformasi. Simbol ketahanan politik yang paling utuh dalam sejarah negara.
Dr Wan Azizah Wan Ismail. Presiden pertama. Lambang ketenangan, kesetiaan dan kecekalan seorang isteri, ibu dan pemimpin.
Nurul Izzah Anwar. Reformis generasi muda. Suara bersih, penuh prinsip dan pembawa harapan politik beretika.
Rafizi Ramli. Pencetus gelombang politik berasaskan data dan strategi. Tegas, kritikal dan reformis dengan gaya tersendiri.
Saifuddin Nasution Ismail. Tokoh strategi dan pentadbir yang konsisten. Penjaga naratif, dasar dan struktur dalam parti dari awal perjuangan hingga kini.
Shamsul Iskandar Mohd Akin. Pemimpin pemuda dan suara akar umbi. Konsisten dari zaman AMK hingga kini kembali memperkukuh kekuatan cabang.
Nik Nazmi Nik Ahmad, antara contoh ikon politik intelektual, pemimpin AMK yang meneruskan gagasan dasar secara tenang tapi penuh isi.
Beberapa nama sekadar contoh namun banyak lagi yang boleh mengisi ikon peringkat pusat dan cabang.
Pengiktirafan ikon negeri dan cabang
Setiap negeri dan cabang punya pejuang tersendiri. Mereka mungkin tidak popular tetapi sangat konsisten. Merekalah yang mengetuk pintu rumah rakyat, menyusun ceramah dan mempertahankan parti ketika ia dipersenda.
Mereka tidak semestinya menyandang jawatan tinggi, tetapi merekalah yang memastikan struktur parti terus bergerak, mesyuarat terus berjalan dan semangat perjuangan tidak padam.
Justeru, KEADILAN wajar mewujudkan satu sistem pengiktirafan ikon di peringkat negeri dan cabang, sebagai bentuk penghormatan terhadap jasa individu yang membina asas perjuangan di peringkat akar umbi.
Cadangan ikon negeri, cabang
Anugerah Ikon Negeri KEADILAN. Anugerah ini diberikan setiap tahun kepada tokoh negeri yang memberi sumbangan besar dalam pengembangan pengaruh parti, pembinaan jentera dan gerak kerja berprinsip.
Senarai Ikon Cabang KEADILAN. Perlu dibangunkan oleh jawatankuasa cabang berdasarkan kriteria seperti kesetiaan, konsistensi, dan pengaruh positif dalam membina kekuatan akar umbi.
Penerbitan digital dan fizikal. Khusus mengenai kisah ikon negeri dan cabang ini sebagai bahan pendidikan untuk pelapis baharu, khususnya Angkatan Muda Keadilan dan Wanita.
Dengan langkah ini, KEADILAN bukan sahaja menghormati mereka yang berada di barisan hadapan tetapi juga mengiktiraf mereka yang bertahan dan bekerja dalam diam di belakang tabir selama ini.
Parti yang menghormati sejarahnya akan lebih kukuh berdiri di masa depan. Mengiktiraf ikon bukanlah soal nostalgia tetapi soal prinsip. Pengorbanan harus diberi tempat dan perjuangan harus diwariskan, bukan dilupakan.
Comments