top of page

Iklim ekstrem: Kementerian Pertanian rangka pelan jangka panjang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 13
  • 1 min read

ree

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang merangka pelan jangka panjang bagi memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin menghadapi ancaman perubahan iklim yang semakin ketara.


Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara fokus utama pelan itu ialah memperluas kawasan pengeluaran hasil pertanian ke negeri-negeri yang mempunyai corak iklim lebih stabil, seperti Sabah dan Sarawak.


"Kebergantungan kepada satu kawasan tanaman sahaja tidak lagi relevan.


"Sebagai contoh, untuk bekalan beras negara, kita mula melihat Sabah dan Sarawak sebagai zon penting kerana iklimnya yang lebih stabil berbanding beberapa kawasan di Semenanjung," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Putrajaya pada Khamis.


Sebagai rekod, perubahan iklim yang menyebabkan cuaca panas dan kering telah memberi kesan besar terhadap produktiviti hasil pertanian.


Antara kesannya ialah tanah menjadi kering dan kurang lembapan, sekali gus menyukarkan pertumbuhan akar tanaman. Situasi ini juga meningkatkan risiko serangan serangga perosak yang boleh menjejaskan kualiti dan hasil pengeluaran.


Sementara itu menurut Mohamad Sabu, bagi mengurangkan kesan cuaca kepada tanaman, kerajaan melaksanakan beberapa langkah proaktif termasuk menyelaraskan jadual penanaman mengikut ramalan cuaca semasa.


Selain itu pemantauan juga ditingkatkan bagi mengesan sebarang serangan penyakit tanaman.


"Inisiatif-inisiatif ini penting untuk memastikan hasil pertanian kekal stabil dan negara tidak berdepan krisis bekalan makanan," jelas beliau lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page