top of page

Ikatan Prihatin Rakyat: Retorik lama tutup krisis dalaman PN – AMK

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 15
  • 2 min read

ree

Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang diumumkan blok pembangkang semalam merupakan satu lagi produk politik menjelang Pilihan Raya Umum ke 16 bagi memperlihatkan pembangkang masih relevan biarpun dibelit sengketa dalaman yang serius.


Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Danish Hairudin (gambar), pengumuman Pengerusi Perikatan nasional (PN), Muhyiddin Yassin semalam mengenai pembentukan IPR sebagai satu lagi “retorik politik lama” yang bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta perebutan Bersatun dan Pas untuk menguasai PN.


"Saya melihat pengumuman Tan Sri Muhyiddin mengenai pembentukan IPR sebagai satu lagi retorik politik bagi mengalih perhatian rakyat daripada kemelut dalaman Bersatu dan ketegangan dalam Perikatan Nasional," kata Danish dalam kenyataan hari ini.


Menurut Timbalan Ketua Cabang KEDILAN Kota Raja itu, langkah tersebut bukanlah tanda kekuatan politik Muhyiddin semakin membaik, sebaliknya bagi mengelakkan isu kelemahan dan tekanan kepimpinan yang dihadapi beliau.


"Hakikatnya, Muhyiddin kini berdepan tekanan kepimpinan dalam partinya sendiri serta kehilangan kepercayaan rakan sekutu dalam PN. Maka, gabungan baharu ini bukan tanda kekuatan tetapi percubaan menutup retak yang semakin melebar," ujarnya.


Danish turut mempersoalkan kewujudan “11 parti luar blok kerajaan” yang digembar-gemburkan dalam pengumuman tersebut, menyifatkannya sebagai gabungan longgar tanpa agenda jelas untuk rakyat.


"Kononnya ‘11 parti luar blok kerajaan’ ini hakikatnya hanyalah gabungan longgar yang tidak membawa agenda baharu untuk rakyat, selain cuba membina persepsi kononnya beliau masih relevan di arena politik," sinisnya.


Tambah beliau, PN bukanlah satu gabungan politik yang harmoni kerana setiap parti mempunyai kepentingan tersendiri. Muhyiddin, katanya, cuba menonjolkan diri sebagai penyatu bagi menarik mana-mana pihak yang kecewa dalam PN untuk menyertai projek politik baharu beliau.


"Dengan mewujudkan IPR, Muhyiddin cuba menampilkan diri sebagai penyatu di luar PN, supaya jika ada yang kecewa dalam PN boleh ‘lompat’ ke projek beliau tanpa stigma sebagai pengkhianat," ujarnya.


Danish berkata bahawa rakyat kini lebih bijak menilai dan tidak lagi terpedaya dengan permainan politik gabungan baharu semata-mata.


"Saya menegaskan rakyat hari ini tidak lagi tertarik dengan retorik gabungan demi gabungan. Mereka menilai berdasarkan rekod, dan rekod pentadbiran Muhyiddin (2020 - 2021) jelas meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi, kestabilan politik dan kepercayaan rakyat,” tegasnya.


Beliau menambah bahawa Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini memberi tumpuan kepada reformasi sebenar, pengukuhan ekonomi dan perlindungan sosial yang adil — bukannya mencipta pakatan politik demi menyelamatkan karier lama.


"KEADILAN dan Kerajaan MADANI akan terus berbicara dengan fakta, bukti dan integriti serta terus membela nasib rakyat dengan penuh tanggungjawab," katanya lagi.


Justeru beliau mengingatkan rakyat agar jangan tertipu dengan 'bungkusan cantik' dan 'janji manis' pembangkang yang kononnya bergabung membentuk IPR.


Semalam, 11 parti politik di luar blok kerajaan dalam satu mesyuarat meja bulat sepakat menamakan gabungan sebagai Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dengan tema perjuangan 'Selamatkan Malaysia'.


Gabungan longgar itu dikatakan akan mengadakan Kongres Nasional IPR pada awal 2026 bagi menegaskan pendirian gabungan menangani isu-isu rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page