Iftar Reformis 2023: Gembleng reformis ke arah Malaysia Madani
- Redzuan Shamsudin
- Apr 18, 2023
- 2 min read

Iftar Reformis 2023 anjuran Gabungan Reformis Malaysia (GRM) mengumpul pejuang reformasi generasi baharu dan lama dalam menggembleng kekuatan menjayakan Malaysia Madani.
Penyelaras GRM, Mustaffa Kamil Ayub berkata kejayaan bapa Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri ke 10 belum bermakna agenda reformasi berjaya keseluruhannya.
Masih banyak usaha, katanya, perlu digerakkan oleh para reformis terutama untuk menjayakan agenda Malaysia Madani yang digagaskan Anwar.
"Kita GRM hari ini dapat bersama sama meraikan para pejuang reformasi tegar sejak 1998.
"Kita GRM dari awal penubuhan kita sejak 3 tahun yang lalu bersama 10 NGO gabungan, kita dari awal mendukung Datuk Seri Anwar.

"Kita mula mula dulu slogan kepada Datuk Seri Anwar sebagai PM ke 6, PM ke 7 tak jadi lagi. PM 8 tak jadi, PM ke 9 tak jadi. Alhamdulillah PM ke 10 baru jadi.
"Namun yang penting kita sokong kepimpinan Datuk Seri Anwar, idealisme yang beliau bawa, membawa masyarakat Madani sebagai contoh. Yang beliau ungkapkan sejak daripada 1995 lagi di festival istiqlal. 1996 diadakan simposium besar besaran masyarakat Madani di UKM. Tetapi pada 1998 Anwar disingkirkan," katanya mengimbau nostalgia dan tragedi di sebalik gerakan reformasi sejak 1998.
Mustaffa turut mengingatkan bahawa reformis baharu mengecap 4 bulan sebagai kerajaan, maka perlu bersabar untuk melihat lebih banyak perubahan dan impian reformis untuk menjadi kenyataan.
Beliau juga mengungkap mengenai masyarakat Madani pada era Rasullullah s.a.w yang mana komposisi Islam dan bukan Islam di Madinah hampir sama seperti Malaysia, sebelum Islam meluaskan dakwahnya ke 3/4 bahagian dunia.
Oleh itu, kata Mustaffa, tidak mustahil agenda Malaysia Madani akan meluas di Malaysia.
"Inilah masyarakat Madani Malaysia yang dilancarkan Anwar pada Januari 2023.
"GRM mendukung Malaysia Madani. Kita punya platform (persatuan) yang perlu sama sama membela semua reformis. Sama ada reformis awal atau reformis baharu.
"Kesemuanya kita bela dalam membangunkan Malaysia Madani. Dalam tempoh terhampir, GRM akan didaftarkan ke ROS. Sebelum ini kita tahu daftar tak akan lulus kerana ada perkataan reformasi," katanya membayangkan organisasi reformis yang akan lebih teratur pada masa hadapan.
Selepas iftar, beberapa pejuang reformasi dan wakil NGO diberi sumbangan bakul reformasi yang mengandungi barangan keperluan harian serta duit raya.
Majlis tersebut berjaya mengumpul lebih 100 reformis dari 10 NGO gabungan GRM.
Comments