Majlis Iftar Perdana kali ke 14 Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) di Kuala Lumpur baru baru ini memberi keceriaan kepada 400 orang asnaf.
Semenjak penubuhan pada 1999, Gepima meneruskan tradisi selama 24 tahun mengadakan majlis iftar dan mengagihkan bantuan kepada golong asnaf menjelang sambutan Aidilfitri.
Tahun ini sebanyak 400 penerima diberi sumbangan barangan keperluan harian serta kewangan.
Pengasas dan penasihat Gepima, Mohamed Kathir Ali yang berucap pada majlis di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya itu menekankan perlunya NGO membantu golongan asnaf, menambah bantuan kerajaan bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri golongan yang kurang bernasib baik.
"Majlis Iftar Perdana ini merupakan program tahunan Gepima, yang memberi memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan agar dapat bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.
"Dalam masa yang sama memberi kesedaran kepada kaum muslimin dan muslimat tentang betapa pentingnya memeriahkan sambutan bulan Ramadan dengan mengadakan majlis berbuka puasa beramai-ramai," katanya.
Selain Mohamed Kathir, wakil Kementerian Pendidikan, Atiqah Syahirah Shaharuddin yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam ucapan perasmian meluahkan ucapan terima kasih kepada pertubuhan seperti Gepima atas sokongan NGO berkenaan terhadap kerajaan Malaysia Madani dan menyantuni golongan kurang berkemampuan.
"Kementerian Pendidikan merupakan kementerian terbesar di negara ini. Agak sukar bagi Kementerian Pendidikan untuk menguruskan semua isu sekolah serta murid, tanpa sokongan daripada NGO seperti Gepima.
"Dalam masa inilah, mereka dari kalangan NGO harus bersama dengan kementerian untuk menghadapi cabaran dalam negara bersama sama," katanya.
Hadir dalam majlis berkenaan Presiden Gepima Kebangsaan, Mohamed Ibrahim Mohamed, Penasihat Gepima Datuk Hj Hishamudin Tan Sri Sok Ubaidullah dan Timbalan Presiden Abdul Malik Abdul Majid.
Turut memeriahkan majlis, Mohd Azhari Mohammad (Ketua Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negara), Datuk Mohd Ajib Ismail (Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan), Mohd Nizam Yahya (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan), Mohd Izzat Afifi Abd Hamid (Presiden Majlis Belia Malaysia) dan Andre Lai (Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan).
Comments