top of page

Ibu Soko pemelihara adat, tonggak penting masyarakat N Sembilan - Nurul Izzah

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
Jul 30
2 min read

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, golongan Ibu Soko sangat berperanan sebagai tonggak bagi memelihara adat, memperkukuh institusi keluarga serta menjadi nadi kebajikan masyarakat di Negeri Sembilan.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Adat Merentas Zaman DUN Seri Menanti di Seri Menanti Resort, yang menghimpunkan golongan Ibu Soko dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan kepentingan memelihara warisan adat dalam pembangunan negeri.


Menurut Nurul Izzah, pembangunan yang pesat tidak seharusnya menyebabkan masyarakat melupakan akar budaya dan nilai tradisi yang menjadi identiti Negeri Sembilan.


Katanya, Ibu Soko bukan sahaja berperanan menjaga kelangsungan adat Perpatih, malah menjadi rujukan dalam mengukuhkan institusi keluarga, membela kebajikan masyarakat serta memastikan golongan warga emas terus disantuni.


"Yang memerlukan perhatian, yang memerlukan kasih sayang... dia kena ada sifat-sifat keibuan.


"Ia bukan hanya tanggungjawab seorang ibu, tetapi nilai yang perlu ada dalam setiap pemimpin yang ingin berkhidmat kepada masyarakat," katanya menjelaskan sifat keibuan perlu diterapkan dalam kepimpinan kerana ia melahirkan rasa empati, kasih sayang dan keprihatinan terhadap keperluan rakyat, khususnya golongan rentan.


Sehubungan itu, Nurul Izzah menyeru rakyat Negeri Sembilan khususnya supaya sentiasa mendengar suara wanita kerana golongan ini adalah yang paling hampir dengan kehidupan masyarakat dan lebih memahami keperluan sebenar di peringkat akar umbi.


Menurut beliau, wanita lebih arif mengenai isu kebajikan keluarga, pendidikan anak-anak, kesejahteraan warga emas serta cabaran harian yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing.


Beliau berkata, setiap dasar dan keputusan yang dibuat perlu mengambil kira pandangan golongan wanita agar pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja membawa kemajuan, malah memperkukuh kesejahteraan sosial.


Dalam masa sama, Nurul Izzah mengingatkan bahawa kemajuan negeri perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara adat, sejarah dan institusi masyarakat yang menjadi kekuatan Negeri Sembilan.


"Kita bertemu bukan sekadar untuk bercakap, tetapi lebih kepada mendengar dan menyantuni masyarakat supaya setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja menjaga kebajikan dan pembangunan, tetapi turut menghayati tradisi serta asal-usul kawasan," katanya.


Beliau turut menyifatkan Ibu Soko sebagai simbol ketahanan masyarakat Negeri Sembilan kerana terus mempertahankan adat dan nilai murni walaupun berdepan pelbagai perubahan zaman.


"Kita datang untuk mengambil kekuatan daripada Ibu Soko. Mereka inilah yang sejak dahulu bukan sahaja menjaga adat, malah terus mempertahankannya walaupun berdepan pelbagai cabaran.


“Semangat inilah yang perlu menjadi inspirasi dalam membina masa depan Negeri Sembilan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page