Ibu bapa perlu main aktif peranan bentuk rutin pembelajaran anak
- Suara Keadilan

- Jan 11
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Menjelang sesi persekolahan baharu 2026, persediaan anak-anak tidak seharusnya terhad kepada kelengkapan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disokong dengan perhatian dan bimbingan berterusan daripada ibu bapa.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, ibu bapa berperanan penting dalam membina rutin pembelajaran yang sihat serta meluangkan masa menemani anak-anak pada peringkat awal persekolahan.
"Ramai murid sebenarnya bukan tidak mahu belajar, tetapi kerana ketinggalan dan kurang sokongan, mereka hilang keyakinan dan tercicir daripada sistem pendidikan.
"Sebagai ibu bapa, kita perlu membantu anak-anak membina rutin pembelajaran yang konsisten, mengawal penggunaan peranti elektronik supaya tidak berlebihan, serta meluangkan masa pada peringkat awal persekolahan untuk menemani mereka menyiapkan kerja rumah dan memahami perkembangan pembelajaran mereka," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau sebelumnya hadir ke majlis penyerahan sumbangan pakaian seragam, kasut dan alat tulis kepada 1,200 orang murid dari Desa Menteri anjuran Sunway University pada Sabtu.
Menerusi hantaran sama, Chean Chung turut merakamkan penghargaan kepada Sunway University atas komitmen terhadap pendidikan komuniti serta ABARO atas sumbangan kasut sekolah yang berkualiti.
Beliau berharap sumbangan itu dapat membantu murid memulakan persekolahan dengan lebih yakin dan tenang.









Comments