top of page

Ibu bapa jadi teladan, lengkapi anak dengan kasih sayang

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
53 minutes ago
2 min read
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar arkib
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Gambar arkib

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru ibu bapa supaya menjadi teladan kepada anak-anak serta membina persekitaran keluarga yang memberi ruang untuk mereka mendapatkan sokongan dan meluahkan perasaan.


Menurutnya, institusi kekeluargaan perlu diperkukuh dengan nilai kasih sayang dan rasa tanggungjawab dalam kehidupan seharian bagi menghadapi cabaran teknologi dan media sosial, terutama dalam melindungi anak-anak daripada kandungan negatif.


"Kita kini semakin kurang berkomunikasi antara satu sama lain dalam keluarga kerana masing-masing lebih banyak melihat telefon.


"Jangan biarkan teknologi mengambil alih peranan keluarga kerana hubungan dan kasih sayang tetap penting," katanya dipetik laporan media.


Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) berkata begitu dalam ucapan perasmian Program Wacana Kasih Keluarga Madani Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di Shah Alam pada Sabtu.


Acara turut dihadiri Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Masdiana Muhamad.


Sementara itu dalam ucapannya Dr Wan Azizah turut menyeru masyarakat perlu terus memberi sokongan kepada wanita yang bekerja dan berkeluarga, terutama bagi membantu mereka mengimbangi tanggungjawab keluarga dengan tuntutan kerjaya.


Menurutnya, sokongan berkenaan penting supaya wanita dapat melaksanakan peranan sebagai ibu dan pekerja dengan lebih seimbang.


"Sistem sokongan yang kukuh turut membantu memastikan keperluan keluarga, khususnya anak-anak, terus diberi perhatian ketika wanita mengurus tuntutan pekerjaan.


"Kita mahukan sistem sokongan bukan bermakna kita tidak mahu wanita bekerja, tetapi mereka perlu mempunyai sokongan supaya keluarga, khususnya anak-anak, mendapat kekuatan dan perhatian yang diperlukan," tambahnya.


Program Wacana tersebut dilaksana dengan kerjasama PEKAWANIS bertujuan memperkukuh institusi kekeluargaan dan kesejahteraan masyarakat.


Program menampilkan forum “Peranan Keluarga Madani: Dari Keluarga ke Negara” serta sesi perkongsian mengenai keseimbangan peranan keluarga dan pembentukan masyarakat sejahtera.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page