Ibu bapa benteng utama keselamatan internet kanak-kanak


Usaha memastikan persekitaran Internet lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada kerajaan, sekolah dan platform semata-mata.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ibu bapa mempunyai peranan besar kerana mereka lazimnya menentukan peranti dan aplikasi yang digunakan anak-anak.
"Ibu bapa perlu memahami ancaman semasa termasuk scam, perjudian dalam talian dan buli siber serta modus operandi pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak," katanya dipetik laporan media.
Fahmi ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Kuala Lumpur di Imbi Convention Hall, Cheras pada Sabtu.
Sementara itu beliau turut menyeru golongan ibu bapa supaya sentiasa cakna dan waspada sekiranya anak-anak mereka mula menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai teman berbual atau ‘kawan’.
Walaupun AI boleh membantu dalam pelbagai urusan termasuk mendapatkan maklumat dan pandangan, teknologi itu bukan manusia dan tidak seharusnya dianggap sebagai teman.
"Yang paling berbahaya ialah AI yang boleh bercakap dengan kita. AI ini boleh bercakap balik dengan kita seolah-olah dia manusia, tetapi bukan manusia.
"Sekiranya perlukan, dapatkan bantuan atau intervensi di sekolah masing-masing," tambahnya.
Kempen Internet Selamat itu merupakan siri ketiga selepas dilaksanakan di Pahang dan Perak sebelum diteruskan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Program berkenaan akan bergerak ke Johor selepas ini sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.




Comments