i-SEED bukti komitmen Selangor bantu usahawan India berkembang
- Suara Keadilan

- 7 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Selangor komited menyokong dan membantu usahawan di negeri itu secara menyeluruh tanpa mengira kaum, agama, atau fahaman politik.
Komitmen tersebut dibuktikan apabila lapan usahawan kecil di Hulu Selangor menerima bantuan peralatan perniagaan di bawah Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) bagi membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.
Ketua Penyelaras Unit i-SEED, Mathavan Muniandy berkata, bantuan berkenaan disampaikan sempena Program Penyerahan Peralatan i-SEED 2025 pada 26 Disember lalu.
"Penerima bantuan terdiri daripada tiga peniaga makanan serta masing-masing seorang tukang jahit, tukang gunting rambut, pengusaha katering, peniaga kelapa parut dan pemilik kedai runcit.
"Unit i-SEED turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari atas sokongan berterusan terhadap pelaksanaan inisiatif i-SEED demi kesejahteraan rakyat Selangor," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Program i-SEED dilancarkan pada 7 April 2021 bertujuan meningkatkan taraf ekonomi komuniti India di Selangor melalui pemberian bantuan peralatan perniagaan yang bersesuaian dengan jenis usaha dijalankan.
Bagi melayakkan diri, pemohon mestilah rakyat Selangor atau telah bermastautin di negeri ini melebihi 10 tahun, berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan serta menjalankan perniagaan di Selangor.
Dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2026 pada November lalu, Menteri Besar mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi meneruskan kesinambungan pelaksanaan program i-SEED pada tahun hadapan.









Comments