Hutang negara tidak melepasi 65% daripada KDNK - PM
- Suara Keadilan

- Dec 2
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jumlah hutang negara setakat akhir suku ketiga tahun ini, yang berjumlah RM1.4 trilion, tidak wajar dijadikan isu untuk mengelirukan rakyat.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan apabila unjuran defisit berkurangan, ia menunjukkan tanggungan hutang negara juga akan berkurangan.
"Umpamanya jumlah tuntutan hutang sekarang kita membayar mengikut obligasi pada masa yang ditetapkan.
"Angka itu sebenarnya diputarkan sebab itu ‘statistic do not lie’ tetapi ada keadaan di mana statistic can be manipulate," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT).
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan [PH-Bangi] mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengaku sebagai pakar ekonomi dan kewangan, tetap menyebarkan maklumat separuh benar yang diterima sebagai fakta.
Pihak berkenaan mendakwa paras hutang kerajaan telah melebihi had hutang statuari sebanyak 65 peratus daripada KDNK dan mereka sengaja merujuk jumlah hutang luar negara sebanyak RM1.4 trilion sebagai asas dakwaan itu.
Anwar turut diminta mengulas sama ada jumlah hutang negara tersebut berada pada tahap membahayakan dan apakah wujud mekanisme untuk mengawalnya.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan maksud ‘statuari debt’.
Menurutnya, ia merujuk kepada jumlah keseluruhan pinjaman negara yang ada dalam undang-undang negara yang tidak termasuk hutang luaran kecil atau pinjaman antarabangsa tertentu.
"Jadi ada angka penurunan (di situ) kerana yang penting kita boleh turunkan segera tapi bebannya kepada rakyat, itu satu keputusan yang harus kita ambil.
"Sebab itu daripada RM100 bilion hutang baru kita turun kepada RM70 bilion, (mala) kita boleh turunkan kepada RM20 bilion tahun depan, tapi Kerajaan Negeri janganlah minta peruntukan.
"Jadi sebab itu penurunan itu menunjukkan keupayaan kita meneruskan projek-projek asas yang wajib dilaksanakan seperti projek tebatan banjir, prasarana asas, pendidikan, kesihatan dan lain-lain," ujarnya lagi.









Comments