top of page

AMK selar percaturan kuasa ketika PM fokus kukuh ekonomi

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 54 minutes ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menegur pihak yang terus memberi tumpuan kepada percaturan politik dan perebutan kuasa ketika Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang melaksanakan tanggungjawab rasmi untuk memperkukuh ekonomi negara serta menarik pelaburan asing.


Menerusi hantaran di media sosial yang memaparkan gambar lawatan kerja Anwar ke Jepun, Ketuanya Muhammad Kamil Munim (gambar) menyindir pihak yang seolah-olah mempunyai terlalu banyak masa untuk terus berpolitik dan memikirkan soal kuasa semata-mata.


"Yang mahu mencatur, teruskan mencatur. Mungkin banyak masa terluang, tak tahu nak buat apa dan minatnya hanya ingin merebut kuasa sepanjang masa.


"Yang mahu bekerja, bekerjalah bersungguh-sungguh. Kelak nanti setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan dengan amanah yang sedang dipikul," katanya yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.


Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada perkembangan politik semasa yang menyaksikan pelbagai spekulasi dan percaturan melibatkan hubungan parti-parti politik serta usaha membentuk jajaran baharu.


Ketika pelbagai pihak terus tenggelam dalam percaturan politik dan perebutan kuasa, lawatan Anwar ke Jepun pula menghasilkan komitmen baharu yang melibatkan pelaburan, keselamatan tenaga, perdagangan dan kerjasama strategik yang berpotensi memberi manfaat langsung kepada ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.


Anwar dalam lawatan kerja tiga hari ke Jepun berakhir semalam berjaya memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Jepun selain meneroka peluang baharu dalam sektor strategik termasuk tenaga, teknologi serta keselamatan maritim.


Lawatan tersebut turut menyaksikan beberapa pertemuan penting diadakan dengan pemimpin dan pemain industri Jepun dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Malaysia serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.


Antara pencapaian utama ialah pemeteraian perjanjian jangka panjang antara Petronas dan syarikat utiliti terbesar Jepun, JERA, bagi membekalkan dua juta tan gas asli cecair (LNG) setahun selama 20 tahun bermula 2028, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik tenaga kepada Jepun.


Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga nuklear awam, mineral kritikal, keselamatan maritim dan pertahanan, di samping memperkukuh rantaian bekalan strategik serta jaminan bekalan tenaga.


Malaysia dan Jepun juga bersetuju meningkatkan penggunaan mata wang tempatan, iaitu ringgit dan yen dalam urusan perdagangan serta memperkukuh kerjasama kewangan antara kedua-dua negara.


Pada masa sama, kerjasama keselamatan maritim dipertingkat menerusi latihan bersama, pembangunan keupayaan dan perkongsian maklumat antara agensi berkaitan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page