Isu pelarian diurus secara berhemah, ambil kira soal keselamatan, manusiawi
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan isu pelarian di negara ini perlu diuruskan secara berhemah berasaskan fakta serta mengambil kira pertimbangan keselamatan dan kemanusiaan dalam menangani cabaran migrasi yang semakin kompleks.
KDN dalam kenyataan berkata, pendirian itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani salah satu cabaran migrasi paling kompleks yang dihadapi negara sejak sekian lama.
"Malaysia telah berhadapan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak berpuluh tahun lalu namun kerajaan masih tidak mempunyai data yang lengkap dan menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada di negara ini atas kapasiti tersebut.
"Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, KDN perlu memastikan setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan berpaksikan data yang tepat, sahih dan dimiliki oleh Kerajaan Malaysia sendiri," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, KDN memaklumkan Jabatan Imigresen sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023).
Menurut kementerian itu, proses berkenaan melibatkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.
"Melalui DPP, kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan dan latar belakang individu yang terlibat dikenal pasti dengan lebih tepat," katanya.
KDN berkata data berkenaan amat penting bagi membantu kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.
"Ia juga membolehkan prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah-langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian, pemegang kad UNHCR diper kemas berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan," kata kenyataan itu.
Kementerian turut menegaskan bahawa proses DPP bukanlah suatu bentuk pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.
"Sebaliknya, ia merupakan instrumen penting bagi memastikan Kerajaan mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap isu migrasi dan keselamatan negara," katanya.
Menurut KDN, prinsip kerajaan dalam isu tersebut adalah jelas iaitu keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi, namun pada masa sama isu pelarian perlu diuruskan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.
"Keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi. Pada masa yang sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika isu pelarian Rohingya kembali menjadi perhatian umum susulan beberapa perbahasan dan cadangan mengenai kaedah terbaik menguruskan kehadiran komuniti berkenaan di negara ini.
Terdahulu Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, isu pelarian Rohingya memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan serta kerjasama negara-negara berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan dan kemanusiaan dapat ditangani secara seimbang.
Isu itu turut mencetuskan perdebatan selepas timbul cadangan supaya pelarian Rohingya ditempatkan di kawasan pulau tertentu sebagai langkah sementara bagi mengurus kebanjiran pendatang dan pencari suaka.
Mengulas perkara itu, KDN menegaskan bahawa pengurusan migrasi yang berkesan mesti bermula dengan data yang tepat.
"Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak kita kenali, dan kita tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada di dalam sempadan negara," ujarnya.




Comments