Hutang negara meningkat: Tuduhan Tun Faizal mengelirukan - AMK Johor
- Redzuan Shamsudin

- Mar 23
- 2 min read

Tuduhan Ketua Penerangan Bersatu kononnya hutang negara meningkat dan pengurusan hutang pada era Kerajaan MADANI lebih lemah berbanding era kerajaan Perikatan Nasional disangkal.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar), dakwaan Tun Faisal Ismail Aziz berhubung pengurusan hutang negara itu mengelirukan rakyat.
Menurut beliau, penilaian terhadap pengurusan kewangan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan jumlah hutang kasar semata-mata, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh termasuk aspek defisit fiskal, kos pinjaman dan keberkesanan perbelanjaan kerajaan.
"Dalam pengurusan negara, ukuran bukan pada angka hutang kasar semata-mata. Ukurannya ialah sama ada defisit turun atau tidak, hutang terkawal atau tidak, kos pinjaman naik atau turun, dan sama ada hasil penjimatan dipulangkan semula kepada rakyat atau tidak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, defisit fiskal negara menunjukkan trend penurunan yang konsisten.
"Defisit fiskal telah diturunkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.0 peratus pada 2023, 4.1 peratus pada 2024 dan disasarkan 3.8 peratus pada 2025, malah diunjurkan terus mengecil kepada 3.5 peratus pada 2026," ujarnya.
Menurut Faezuddun lagi, terbitan hutang baharu tahunan juga telah menunjukkan penurunan ketara, sekali gus mencerminkan disiplin fiskal yang semakin kukuh.
Pada masa sama, katanya terbitan hutang baharu Kerajaan Persekutuan menurun daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023 dan RM76.8 bilion pada 2024.
"Hakikat yang cuba disorok ialah hutang mesti dibaca bersama saiz ekonomi. Setakat akhir Jun 2025, hutang Kerajaan Persekutuan berada pada RM1.304 trilion, bersamaan 63.9% daripada KDNK, dan masih mematuhi had statutori yang ditetapkan undang-undang.
"Malah dokumen rasmi Belanjawan menunjukkan nisbah hutang Persekutuan sekitar 64% juga bagi 2024 dan 2025, bukannya melonjak di luar kawalan. Lebih penting, 98.3% hutang itu ialah hutang domestik, manakala pinjaman luar pesisir hanya 1.7%, sekali gus mengehadkan pendedahan kepada risiko pertukaran asing," katanya.
Selain itu, beliau memetik penarafan positif oleh agensi antarabangsa seperti Standard & Poor's (S&P) dan Fitch Ratings yang mengekalkan penarafan Malaysia dengan prospek stabil.
"S&P menegaskan keyakinan terhadap pengurusan makroekonomi Malaysia, pertumbuhan yang mantap dan defisit fiskal yang semakin mengecil.
"Fitch pula mengekalkan penarafan BBB+ dengan prospek stabil dan mengaitkannya dengan kestabilan politik, kepastian dasar serta daya tahan fiskal yang semakin kukuh. Kalau pengurusan hutang benar-benar huru-hara seperti didakwa, penarafan dan keyakinan seperti ini tidak akan kekal," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa penjimatan hasil rasionalisasi subsidi sejak tiga tahun lalu telah disalurkan sebaik baiknya kepada rakyat melalui inisiatif seperti BUDI MADANI, STR dan SARA.
"Kerajaan juga menaikkan peruntukan STR dan SARA 30% kepada RM15 bilion, selain bantuan sekali beri RM100 SARA kepada rakyat dewasa.
"IMF mengiktiraf pengukuhan fiskal Malaysia sedang bergerak seiring dengan inflasi yang rendah dan stabil, sementara ekonomi 2025 terus berkembang sihat. Ertinya, pembetulan fiskal yang dibuat bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi untuk memotong ketirisan dan memindahkan manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan," ujarnya.
Sehubungan itu, Faezuddin mengingatkan agar semua pihak tidak memanipulasi fakta berkaitan ekonomi negara.
"Jangan kelirukan rakyat dengan angka yang tidak lengkap. Yang rakyat mahu tahu ialah sama ada negara semakin berdisiplin dalam pengurusan kewangan, ekonomi berkembang, pekerjaan bertambah, inflasi terkawal dan bantuan sampai kepada yang memerlukan.
"Setakat fakta rasmi yang ada, hala tuju itu sedang berlaku di bawah pimpinan PMX," katanya lagi.




Comments