top of page

Hukuman rotan satu komponen, bukan penyelesaian mutlak atasi masalah pelajar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • a few seconds ago
  • 2 min read

ree

Hukuman rotan yang menjadi polemik sama ada mahu dikembalikan bagi mendisiplinkan pelajar bukanlah penyelesaian mutlak kepada masalah keganasan di sekolah yang berlaku kebelakangan ini


Bagi Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli (gambar), hukuman rotan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian tunggal, sebaliknya hanya sebahagian daripada pendekatan yang menyeluruh.


Beliau berkata, tindakan disiplin perlu dilihat dalam konteks lebih luas yang melibatkan peranan keluarga, ekonomi dan pengaruh sosial semasa.


"Pandangan saya, hukuman merotan itu hanya salah satu komponen dan bukan penyelesaian 100 peratus. Dalam konteks mendidik, rotan dilihat sebagai alat untuk mendisiplinkan, tetapi tidak semestinya menangani akar masalah yang yang berlatar belakang masyarakat, seperti isu keluarga, ekonomi, atau pengaruh media sosial yang berbeza hari ini," katanya dalam muat naik di Facebook.


Menurut Rafizi, perbahasan mengenai hukuman rotan pula perlu disertai dengan garis panduan ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan, selain memastikan dasar itu tidak menimbulkan pertikaian dalam kalangan ibu bapa.


"Cabarannya menggariskan syarat ketat pelaksanaannya untuk mengelak penyalahgunaan dan, yang lebih penting, untuk mengurus tindak balas ibu bapa yang boleh membawa kepada tuntutan atau pertikaian.


"Kegagalan mendapat mandat sosial daripada ibu bapa akan menjadikan dasar itu tidak berkesan dan kontroversi," jelasnya.


Rafizi turut berkongsi contoh sistem pendidikan Jepun yang memberi tumpuan kepada pembentukan nilai dan sahsiah di peringkat awal persekolahan, berbanding penekanan kepada silibus akademik semata-mata.


"Sebagai contoh di Jepun, pada peringkat awal persekolahan, tumpuan diberikan kepada pembentukan nilai dan disiplin diri berbanding semata-mata kepada silibus pelajaran.


"Murid dilatih untuk menghayati nilai-nilai penting seperti kebersihan dan tanggungjawab contohnya, di sekolah mereka tidak mempunyai tukang sapu, sebaliknya murid sendiri yang membersihkan kawasan sekolah.


"Pendekatan ini menekankan bahawa pembentukan nilai dan sikap lebih utama daripada pencapaian akademik semata-mata," katanya.


Ujar beliau, pendekatan pendidikan yang seimbang antara disiplin, nilai dan kefahaman sosial adalah kunci membentuk pelajar yang berakhlak serta berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page