Pas wajar menguburkan terus cita-cita menegakkan undang-undang Hudud sebagaimana diperjuangkan sejak 40 tahun lalu.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, pelepasan pemimpin Pas Dr Khairuddin Aman Razali daripada dikenakan denda tinggi kerana tidak menjalani kuarantin kendiri setelah pulang dari luar negara membayangkan tidak relevannya Pas terus memperjuangkan Hudud.
Menurut Azan, Hudud lebih tegas daripada hukuman melanggar kuarantin Covid 19. Katanya, jika hukuman ringan pun pemimpin Pas terlepas maka hukuman yang lebih berat tentunya akan hanya tertimpa ke atas rakyat dan bukannya pemimpin.
"Undang-undang mudah ini pun pimpinan Pas langgar apatah lagi undang-undang Islam iaitu Hudud.
"Hudud ini Pas nak cakap pun tak berani sebab terbukti perangai mereka tidak selari dengan undang-undang. Pas sekarang tak bercakap pasal Hudud walaupun sudah jadi kerajaan sebab mereka tahu semua pimpinan Pas itu akan lari dari undang-undang Hudud, akhirnya rakyat sahaja yang kena," katanya.
Tegas Azan lagi, bukan menteri Pas malah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga tidak layak untuk membicarakan rule of law di Malaysia kerana kabinet Perikatan Nasional banyak melakukan pelanggaran undang-undang terutama dalam ketegasan mengelakkan jangkitan Covid 19.
Katanya, gambaran yang dipaparkan media kononnya Muhyiddin seorang 'Abah' yang berjuang bersama-sama rakyat memerangi pandemik hanyalah 'putar belit' media dan tidak menggambarkan realiti sebenar.
"Gambaran kerajaan Muhyiddin memberi tumpuan menyelesaikan isu Covid tidak benar.
"Bagi saya, Muhyiddin langsung tidak menggambarkan komitmen atau kesungguhannya menangani isu Covid. Menteri Pas-Umno pun tidak kuarantin (selepas pulang dari Sabah) dan (bebas) berkumpul.
"Kalau rakyat dibelasahnya cukup-cukup, pelajar-pelajar pun dikenakan tindakan seteruknya, menteri sebaliknya bebas. Malah menteri mempersendakan lagi undang-undang," sinis Azan.
댓글