Hubungan Timur-Barat baharu berasaskan keadilan, tanggungjawab - Nurul Izzah


Pengerusi Suluh Centre, Nurul Izzah Anwar menekankan keperluan generasi baharu untuk membebaskan pemikiran daripada kerangka kolonial dalam menentukan ukuran kemajuan, pembangunan dan kejayaan.
Beliau berkata, perkara itu penting dalam membentuk hubungan Timur-Barat yang lebih adil, khususnya ketika dunia berdepan cabaran perubahan iklim dan ketidakseimbangan tanggungjawab antara negara.
Nurul Izzah berkata demikian ketika menyertai sesi “A New Generation of East–West Relations” pada Impact Week Singapore anjuran TPC dan No17 bersama beberapa tokoh antarabangsa.
Menurut beliau, persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah siapa yang menentukan ukuran kemajuan dan sama ada ukuran tersebut masih sesuai dengan cabaran dunia masa kini.
Isu keadilan iklim
Nurul Izzah turut mengetengahkan isu keadilan iklim, dengan menyatakan banyak negara yang paling terkesan akibat perubahan iklim bukanlah penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon sejak dahulu.

Namun jelas beliau negara-negara terbabit tetap menanggung kos besar untuk menghadapi kesan perubahan iklim, melindungi mata pencarian serta membina daya tahan sambil meneruskan pembangunan untuk rakyat.
"The question of decolonising minds, placing love at the heart of everything, is very crucial," kata Nurul Izzah dalam perkongsian di laman sosial beliau hari ini.
Nurul Izzah berkata hubungan Timur-Barat generasi baharu tidak seharusnya sekadar mengulangi struktur lama dengan pendekatan baharu, sebaliknya perlu berteraskan tanggungjawab, keadilan serta keterangkuman dalam menentukan aturan masa depan.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan perbincangan berkenaan menerusi Suluh Centre, yang berperanan menghubungkan penyelidikan, dasar dan realiti masyarakat.
Katanya, Suluh Centre terbuka untuk bekerjasama dengan penyelidik, institusi dan komuniti dalam membuka lebih banyak ruang kepada wanita dan belia, memperjuangkan keadilan iklim, memperkukuh komuniti serta mencari penyelesaian secara bersama.
"Kalau ada idea yang boleh kita teroka bersama, pintu Suluh sentiasa terbuka. InsyaAllah," katanya.




Comments