Hubungan PM dengan ulama dunia perkukuh wacana pemikiran Malaysia
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menyifatkan hubungan rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ulama terkemuka dunia sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuh kedudukan wacana pemikiran Malaysia di peringkat global.
Beliau berkata, penghormatan terhadap kepimpinan Malaysia turut terserlah apabila coretan Anwar dimuatkan dalam naskhah khas berjudul In the Shrine of Imam Tayyib sempena ulang tahun kelahiran ke-80 Imam Besar al-Azhar, Sheikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayyib.
"Alhamdulillah, sejuk mata memandang bila kepimpinan negara kita mendapat tempat dan penghormatan pada hati para ulama terkemuka dunia," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut Zulkifli, naskhah khas berkenaan turut memuatkan coretan penuh penghormatan daripada Anwar kepada Sheikh al-Azhar.
Beliau berkata, perkembangan itu menjadi bukti bahawa wacana pemikiran Malaysia terus mendapat tempat dan berkembang dalam perbincangan antarabangsa.
"Bukti wacana pemikiran Malaysia sentiasa subur pada peringkat global," ujarnya.
Zulkifli turut berkongsi pengalaman mengiringi pertemuan Anwar bersama Sheikh al-Azhar di Manama, Bahrain, pada Februari 2025.
"Saya sempat mengiringi pertemuan PMX bersama Syeikh al-Azhar di Manama, Bahrain, pada Februari 2025," katanya.
Beliau berharap hubungan dan ukhuwah yang terjalin antara kepimpinan Malaysia dengan ulama dunia terus membawa manfaat kepada umat Islam.
