Hubungan Malaysia-Rusia tidak jejas hubungan dengan negara lain - PM
- Suara Keadilan
- May 17
- 2 min read

Hubungan rapat Malaysia dengan Rusia tidak seharusnya dilihat sebagai situasi “zero-sum game” sebaliknya ia adalah langkah untuk mengembangkan potensi ekonomi sejajar dengan kedudukan sebagai negara perdagangan terbuka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan hubungan dengan negara kuasa besar tersebut tidak menggugat atau melemahkan perhubungan Malaysia dengan negara rakan dagang lain termasuk Amerika Syarikat (AS).
"Ia tidak harus dilihat sebagai satu 'zero-sum game'. Hubungan ini sepatutnya saling melengkapi," kata Anwar dipetik daripada laporan media Malaysia sebelum menamatkan lawatan rasmi beliau selama empat hari ke Rusia semalam.
Dalam lawatan tersebut Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin, Perdana Menteri Mikhail Mishustin dan pelbagai pemimpin industri di Moscow dan Kazan
Menurut Anwar Malaysia terus komited untuk mengembangkan perkongsian perdagangan secara meluas dan bebas, sebagai usaha melindungi dan mempromosikan kepentingan ekonomi negara.
"Malaysia adalah sebuah negara perdagangan terbuka. Untuk melindungi kepentingan kita, kita perlu meluaskan pasaran dan perkongsian perdagangan kita," kata beliau yang juga Menteri Kewangan.
Perdana Menteri menjelaskan Malaysia tetap mengalu-alukan pelaburan dari AS dengan perbincangan berterusan dilakukan antara agensi-agensi Malaysia dan rakan sejawat mereka dari negara tersebut.
"Malah, minggu lalu sahaja, syarikat AMD (Advanced Micro Devices Inc) berada di sini. Terdapat perbincangan serius untuk memperluas aktiviti mereka dan kita pastinya mengalu-alukannya," katanya.
Mengenai kesan hubungan erat dengan Moscow terhadap negara Barat, Anwar menjelaskan Malaysia akan terus memberi penerangan berhubung pendirian negara sekiranya perlu dengan hubungan terbuka dan konstruktif dengan semua rakan antarabangsa tetap dikekalkan.
"Kita tidak pernah memberi gambaran bahawa apa yang kita lakukan ini dengan mengenepikan mana-mana negara," kata Perdana Menteri.
Mengenai sekatan yang dihadapi Rusia, Anwar mengulangi pendirian bahawa Malaysia menghormati sekatan yang disahkan oleh badan multilateral seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diambil pertimbangan dalam dasar luarnya.
"Jika sekatan dikenakan oleh agensi pelbagai hala seperti PBB, sudah tentu kita menghormatinya. Tetapi jika ia adalah tindakan unilateral oleh mana-mana negara individu, sukar bagi kita sebagai sebuah negara merdeka untuk menghormatinya," kata beliau.
Mengenai isu berkaitan pembayaran dibangkitkan oleh perniagaan Malaysia yang beroperasi di Rusia, beliau berkata kedua-dua kerajaan sedang berusaha untuk mencari penyelesaian.
"Terdapat banyak bidang yang tidak berada di bawah sekatan, seperti pendidikan. Kita sedang maju ke hadapan dalam sektor itu," katanya.
Comments