top of page

Hospital pengajar perlukan sumbangan tampung kos rawatan pesakit

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 31
  • 1 min read

Datuk Fahmi dan MP DS Dr Wan Azizah menyaksikan pemberian sumbangan kepada PPUM
Datuk Fahmi dan MP DS Dr Wan Azizah menyaksikan pemberian sumbangan kepada PPUM

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan menggalakkan orang ramai dan semua pihak menyalurkan sumbangan melalui hospital pengajar (pelatih kakitangan perubatan) bagi memperkukuh usaha membantu masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan perubatan.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu diyakini dapat meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjalani rawatan di hospital.


''Kita ada banyak hospital pengajar di seluruh negara, tapi bagi saya yang paling dekat di hati ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana berada dalam kawasan saya (Lembah Pantai).


''Sumbangan daripada tabung ini juga akan diberikan pelepasan cukai. Jadi saya galakkan semua pihak untuk sama-sama membantu memberi sumbangan,'' katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Amal 'A Night to Care' anjuran PPUMCare dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Lembah Pantai, malam tadi.


Majlis yang diadakan itu dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dilaporkan berkata, PPUM berdepan cabaran kewangan yang unik berbanding hospital kerajaan lain kerana berada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan bukan Kementerian Kesihatan (KKM).


Situasi itu katanya, menyebabkan PPUM berdepan kesukaran menampung kos rawatan yang semakin meningkat termasuk bagi pesakit daripada golongan B40 dan M40.


''Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai dan anggota pentadbiran, saya rasa menjadi tanggungjawab saya untuk membantu dan kita putuskan untuk mengadakan majlis makan malam amal ini dan saya sendiri mulakan dengan menyumbang RM50,000 kepada PPUMCare,'' ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page