
Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu fasiliti kesihatan di negeri ini ditambah diambil perhatian serius oleh Kerajaan Negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif meningkatkan akses kepada kesihatan dengan cadangan membina tiga buah hospital awam di negeri itu bagi memudahkan orang ramai khususnya penduduk di Kapar, Meru dan Puncak Alam mendapat khidmat kesihatan dan mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada.
Menurut Amirudin, tiga lokasi dikenal pasti adalah di Sepang, Cyberjaya termasuk di Klang yang akan mengatasi masalah kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR)
“Dalam tempoh beberapa minggu lagi, Hospital Cyberjaya akan siap sepenuhnya dan dalam masa sama (Kerajaan Persekutuan) akan membina sebuah lagi hospital di Kapar yang mempunyai 300 katil.
“(Kerajaan Persekutuan) juga sedang merancang untuk membina sebuah lagi hospital di Sepang dan tindakan ini dapat mengurangkan tekanan kepada hospital yang sedia ada di negeri ini,” katanya.
Naib Presiden KEADILAN itu sebelumnya ditemui media pada pameran pelan pembinaan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di Shah Alam.
Sultan Sharafuddin pada Khamis bertitah agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat semula semua keperluan fasiliti kesihatan awam di Selangor secara menyeluruh untuk menyelesaikan isu tempoh menunggu lama pesakit bagi mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan.
Baginda menjelaskan, lebih tujuh juta rakyat Selangor memerlukan fasiliti dan kemudahan peralatan kesihatan lebih baik serta canggih.
Sementara itu Amirudin memaklumkan kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, SelCare akan terus memberi kemudahan kesihatan kepada rakyat di negeri itu.
Namun ketika ini Kerajan Negeri hanya mampu menyediakan fasiliti kesihatan kecil seperti klinik SelCare dan Farmasi SelCare kerana pembinaan hospital lebih besar adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.
"Justeru, kita (SelCare) hanya dapat membantu Kerajaan Persekutuan yang mana kita mampu,” ujarnya.