top of page

Hormati nasihat Istana Negara, lantikan hakim dibuat secara cermat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 11
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Semua pihak termasuk ahli parlimen dan pemimpin politik diseru menghormati sepenuhnya proses serta institusi sedia ada dan tidak sesekali mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan yang boleh menjejaskan atau menghakis kepercayaan rakyat terhadap kebebasan serta kewibawaan badan kehakiman negara.


Demikian tegas Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) yang menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan rasmi dikeluarkan Istana Negara semalam.


Abun berkata, sebagai Ahli Dewan Negara, beliau kekal komited mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dan menolak sebarang bentuk politisasi terhadap pelantikan hakim, demi menjamin kelangsungan keadilan dan kestabilan institusi negara.


''Kenyataan (Istana Negara) menegaskan bahawa pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan hendaklah ditangani secara cermat, berintegriti dan selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, serta tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.


''Kenyataan itu adalah tepat dan berpandangan jauh, khususnya pada saat kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman perlu terus dipelihara dan dikuatkan.


''Ia juga mengulangi prinsip pemisahan kuasa dan keutuhan sistem semak dan imbang antara cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman yang menjadi asas utama demokrasi berperlembagaan di negara kita,'' katanya dalam satu kenyataan.


Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak itu berkata, peruntukan dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan serta Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) jelas memberikan kerangka sah bagi proses pelantikan hakim, dan menyatakan bahawa kuasa menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah prerogatif Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.


Namun ujarnya, kuasa itu bukan bersifat mutlak dan mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, kebijaksanaan dan bebas daripada sebarang tekanan politik atau kepentingan sempit.


''Segala bentuk campur tangan politik terhadap institusi kehakiman adalah satu pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang,'' katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page