top of page

Hormati keputusan pengampunan, tanpa gadai prinsip keadilan – Mustapha

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
5 hours ago
2 min read
Datuk Ts. Mustapha Sakmud. Gambar arkib
Datuk Ts. Mustapha Sakmud. Gambar arkib

Keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak perlu dihormati kerana dibuat dalam kerangka Perlembagaan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.


Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, penghormatan terhadap Perlembagaan pada masa sama tidak bermakna prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang diketepikan.


"Penghormatan terhadap Perlembagaan tidak bermaksud kita menggadaikan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.


"Sesiapa yang melakukan kesalahan jenayah terutamanya berkaitan salah laku kuasa dan rasuah hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang tanpa mengira pangkat atau pengaruh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, seperti ditegaskan Peguam Negara, pengampunan bersyarat berkenaan hanya terpakai terhadap kes SRC International yang telah termaktub hukumannya, manakala kes-kes lain perlu terus dibicarakan berdasarkan lunas undang-undang.


Menurut Mustapha lagi, Malaysia perlu terus mempertahankan kedudukannya sebagai negara hukum yang menjunjung integriti dan kebebasan institusi.


Katanya, keyakinan terhadap sistem perundangan dan pentadbiran negara merupakan antara asas penting untuk memperkukuh kepercayaan rakyat selain mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diyakini.


Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menumpukan kekuatan kepada kestabilan politik dengan terus memberi sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan agenda reformasi dan pemulihan ekonomi.


"Justeru, seluruh kekuatan harus ditumpukan kepada kestabilan politik dengan meneruskan dokongan kepada Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan agenda reformasi dan pemulihan ekonomi," katanya.


Dalam pada itu, Mustapha berkata, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut penting kepada rakyat di Sabah dan Sarawak bagi memastikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum diselesaikan terus diberi perhatian.


"Bagi rakyat Borneo, kepimpinan Datuk Seri amat diperlukan agar fokus Kerajaan Madani memenuhi tuntutan MA63 yang belum selesai serta menambah baik peruntukan kewangan demi pembangunan Sabah dan Sarawak perlu terus dijayakan," katanya.


Beliau menegaskan penghormatan terhadap keputusan institusi Perlembagaan perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh kedaulatan undang-undang, integriti institusi dan akauntabiliti dalam pentadbiran negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page