Hormati kedaulatan undang undang, hakim tidak wajar disiasat SPRM - Biro Guaman AMK



Biro Guaman Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mempersoalkan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa suruhanjaya itu mempunyai kuasa siasat terhadap pegawai badan awam, termasuk hakim.


Menurut Pengerusi Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia, Chiew Choon Man dan Exco Biro Guaman dan Undang-Undang AMK Malaysia, Lau Yi Leong, tindakan SPRM yang menjalankan siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali amat bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa yang merupakan struktur asas kepada Perlembagaan Persekutuan.


Menurut kenyataan mereka, hakim dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan tidak selayaknya diperlakukan sebagaimana pegawai awam biasa.


"Seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan, dan Hakim Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 122B, Perlembagaan Persekutuan.


"Sehubungan itu, Agong menurut kuasanya di bawah Perkara 125(3B) Perlembagaan Persekutuan telah menggubal Kod Etika Hakim 2009 (kod) bagi mengawal tingkah laku Hakim-Hakim dalam dan di luar Mahkamah.


"Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Kod tersebut selanjutnya memperuntukkan tatacara yang jelas bagi menangani aduan-aduan terhadap seseorang Hakim yang disyaki telah melanggari mana-mana peruntukan di bawah Kod berkenaan.


"Perenggan 12 Kod tersebut memperuntukkan bahawa sebarang aduan terhadap seseorang Hakim yang melanggari Kod tersebut hendaklah dibuat secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara.


"Dengan erti kata lain, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan mekanisme secara khususnya yang boleh dilaksana oleh badan Kehakiman sendiri dalam menangani aduan terhadap kelakuan seseorang hakim," kata mereka.


Menurut kenyataan itu lagi, adalah penting pemerintah dalam menegakkan keyakinan orang awam terhadap sistem Kehakiman serta mempertahankan kesucian kehakiman (judicial sanctity) pada masa sama, memastikan prinsip pengasingan kuasa dihormati.


"SPRM sepatutnya bertindak dalam kerangka diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Kod tersebut dengan menyalurkan aduan tersebut kepada Ketua Hakim Negara untuk siasatan dan tindakan yang selanjutnya.


"Ketua Pesuruhjaya SPRM juga seharusnya mengelak daripada membangkitkan siasatan ke atas Hakim di media kerana tindakan sedemikian akan menimbulkan keraguan dan menjejaskan keyakinan orang awam terhadap sistem kehakiman di negara kita, sebelum apa-apa dakwaan dibuktikan terhadap Hakim berkenaan," kata mereka lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER