top of page

Hormati Kebebasan Badan Kehakiman

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 20
  • 2 min read

ree

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Polemik terhadap perlantikan Ketua Hakim Negara telah menimbulkan wacana berkenaan kebebasan badan judisiari di Malaysia. Proses perlantikan Ketua Hakim Negara telah mengheret perbincangan berkenaan peranan badan eksekutif yang digambarkan gagal mempercepatkan proses tersebut. Wujud pertanyaan berkenaan mengapa proses tersebut menjadi lambat dan wujudkah campurtangan eksekutif dalam isu ini.


Pertanyaan ini yang mula menggegar badan judisiari di Malaysia telah diredakan melalui kenyataan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Baginda menegaskan bahawa perlantikan jawatan di dalam badan judisiari perlu mematuhi peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Perkara 122B, Perlembagaan Persekutuan.


Proses perlantikan jawatan tertinggi dalam badan judisiari perlu melalui proses perbincangan peringkat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Majlis Raja-Raja sebelum sebarang nama diangkat untuk perlantikan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Perlembagaan Persekutuan juga memberi wewenang kepada YDPA untuk melantik jawatan tertinggi dalam badan judisiari mengikut kehendak baginda setelah semua proses dilaksanakan mengikut aturan Perlembagaan Persekutuan.


Campur tangan eksekutif tidak wujud


Seharusnya tidak patut wujud perbincangan berkenaan campurtangan badan eksekutif dalam perlantikan jawatan tertinggi badan judisiari. Tindakan mendesak badan eksekutif untuk mengeluarkan kenyataan berkenaan kelewatan lantikan jawatan tertinggi dalam badan judisiari akan hanya mengulang kembali polemik Krisis Kehakiman 1988.

Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
Penulis - Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

Tindakan mantan ketua badan eksekutif pada tahun 1988 yang secara terbuka mengkritik perjalanan badan judisiari telah memberi gambaran bahawa berlaku campurtangan badan eksekutif dalam proses pemecatan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas. Justeru tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) selaku ketua badan eksekutif untuk mendiamkan diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan terkait perjalanan badan judisiari adalah tindakan yang tepat.


Tindakan ketua badan eksekutif pada tahun 1988 yang mengkritik cara kerja, keputusan dan penafsiran undang-undang oleh hakim-hakim di Malaysia telah menimbulkan perkaitan terhadap tindakan YDPA memecat Tun Salleh Abas dari jawatan Ketua Hakim Negara.


Peristiwa itu masih menjadi persoalan sehingga kini berkenaan sejauh mana badan eksekutif telah campur tangan dalam perjalanan badan judisiari di Malaysia. Namun polemik tersebut dapat dielakkan sekiranya ketua badan eksekutif tidak mengkritik secara terbuka perjalan badan judisiari. Perkara inilah yang cuba dielakkan oleh PMX dari berulang semula di bawah pemerintahan Kerajaan Madani.


Badan eksekutif wajib mendukung kebebasan kehakiman


Sultan Sharafuddin Idris Shah seakan-akan bersetuju dengan tindakan PMX apabila mengingatkan bahawa badan eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran badan judisiari.


Reformasi pentadbiran yang cuba dilaksanakan oleh PMX telah dimanifestasikan melalui tindakan beliau yang enggan melayan sebarang desakan agar badan eksekutif mengeluarkan kenyataan terkait kelewatan perlantikan jawatan Ketua Hakim Negara.


Sememangnya wujud ruang penambahbaikan bagi memastikan badan judisiari untuk benar-benar bebas dari pengaruh badan eksekutif dan legislatif pada masa hadapan. Perkara ini telah disuarakan oleh Majlis Peguam dengan tidak menetapkan sebarang garis masa kepada kerajaan untuk melakukan perubahan.


Justeru ruang masa yang lebih panjang perlu diberikan kepada Kerajaan Madani bagi memastikan usaha tajdid terhadap pemisahan kuasa di Malaysia dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.


Penulis merupakan Pensyarah Kanan Universiti Poly-Tech Malaysia

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page