Hormati Jalur Gemilang, tangani isu bendera terbalik dengan hikmah
- Suara Keadilan
- Aug 23
- 2 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar), menyeru agar isu Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik di Pontian ditangani dengan penuh hikmah dan tidak dijadikan polemik perkauman atau politik sempit.
Menurut beliau, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara yang wajib dihormati semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
"Sebagai rakyat yang cintakan negara, kita semua sememangnya wajib menghormati Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara.
"Nasihat saya dalam menangani isu bendera terbalik, pendekatan kita haruslah penuh hikmah dan berhemah. Kesilapan seperti ini wajar ditegur terlebih dahulu, kerana ia boleh berlaku tanpa disengajakan oleh sesiapa sekalipun," katanya dalam muat naik di Facebook.
Faezuddin menegaskan, sekiranya kesilapan yang sama berulang meskipun sudah ditegur, maka barulah laporan polis boleh dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Kita tidak perlu mewujudkan suasana yang tegang dengan ugutan, bergaduh tak tentu pasal atau desakan yang melampau, atau tiba-tiba menganjurkan himpunan," jelasnya.
Beliau turut mengingatkan agar isu seperti ini tidak dijadikan sentimen perkauman yang boleh memecahbelahkan rakyat.
"Saya yakin seluruh rakyat Malaysia tak kira kaum apa, Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan lain-lain pasti ada rasa cinta kepada Jalur Gemilang.
"Saya bimbang sekiranya isu sebegini tidak diurus dengan profesional dan penuh hikmah, ia hanya akan menimbulkan rasa takut dan tawar hati di kalangan masyarakat untuk mengibarkan bendera kerana jika tersalah pasang maka akan dilabel dan diserang," tambahnya.
Justeru, Faezuddin menegaskan bahawa menjaga kehormatan Jalur Gemilang adalah tanggungjawab bersama, dan harus dipupuk dalam suasana kasih sayang terhadap negara, bukannya keresahan atau ketakutan.
Untuk rekod, Majlis Perbandaran Pontian telah mengarahkan tutup sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian selama 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Menurut laporan media, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abd Azim Shamsuddin berkata notis penutupan diserah kepada pemilik berkenaan pada jam 8.20 pagi, kelmarin.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019 di bawah berkaitan pengibaran bendera.
Comments